SIARAN MEDIA : KESETIAAN AHLI MENJADI PENGUKUR KEKUATAN UMNO SELAMA 70 TAHUN – 11 MEI 2016

KUALA LUMPUR – Hari ini UMNO menjangkau usia 70 tahun dan masih kekal menjadi parti terbesar dan terkuat untuk orang Melayu. Bukan mahu mendabik dada dengan angka 70 tahun itu, namun tidak ada yang boleh menafikan dalam tempoh tersebut telah banyak hasil dan perubahan yang dibawakan oleh parti keramat ini dalam memartabatkan agama, bangsa dan negara.

2. Saya cukup percaya bahawa kekuatan UMNO untuk kekal menjadi parti terkuat di negara ini adalah hasil kesetiaan dan pengorbanan ahli-ahlinya. Kesetiaan ahli menjadi kayu pengukur kepada kehebatan UMNO pada hari ini, selain dengan kebijaksanaan kepimpinan tertinggi dalam menerajui parti. Namun saya sedikit terkilan apabila ada di kalangan pemimpin, ahli dan penyokong UMNO cuba untuk meruntuhkan kekuatan yang telah dibina. Mereka tidak hanya melontarkan kritikan di media sebaliknya turut membuat gerakan untuk menurunkan kepimpinan yang ada pada hari ini sehingga sanggup bersama dengan pembangkang bagi memenuhi kepentingan peribadi.

3. Semua pihak perlu faham bahawa pemimpin boleh datang dan pergi. Setiap keputusan yang dibuat oleh kepimpinan tertinggi adalah demi kelangsungan dan melancarkan gerak kerja yang telah direncanakan oleh parti bagi memenuhi agenda membela rakyat. Kita tidak pernah lupa jasa kepimpinan terdahulu, namun adalah penting untuk memberikan ruang kepada kepimpinan hari ini menerajui UMNO dengan acuan tersendiri.

4. Sehubungan itu semua peringkat kepimpinan perlu memainkan peranan masing-masing terutamanya dalam menangani fitnah media sosial. Setelah pelbagai tohmahan yang dilontarkan kepada UMNO terutama, YAB Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak, namun semuanya mampu ditangani dengan baik. Sebagai pemimpin dan ahli parti kita harus meyakinkan rakyat bahawa UMNO adalah pilihan terbaik serta relevan bagi generasi hari ini dan akan datang. SELAMAT ULANG TAHUN UMNO KE-70.

BERSATU BERSETIA BERKHIDMAT

DATO’ SRI AZALINA OTHMAN SAID
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri

Ahli Majli Tertinggi UMNO