FAQ Berkenaan Pindaan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat

A. Pertanyaan Jawab Lisan di bawah Peraturan Mesyuarat 22 (2)

 

  1. Apakah perubahan kepada tempoh notis Pertanyaan selepas pindaan ini?
  • Tempoh notis Pertanyaan dipendekkan daripada 14 hari bekerja kepada 10 hari bekerja.

 

B. Pertanyaan Jawab Lisan di bawah Peraturan Mesyuarat 22 ( 5)

 

1.Berapakah pertanyaan Jawapan Lisan di bawah Peraturan Mesyuarat 22 (5) yang boleh dikemukakan oleh seseorang Ahli Yang Berhormat semasa Dewan bersidang?

  • Secara amnya seseorang Ahli Yang Berhormat boleh mengemukakan tidak lebih daripada 10 pertanyaan lisan bagi setiap mesyuarat Majlis seperti mana yang digariskan di bawah Peraturan Mesyuarat 22 (4). Daripada 10 pertanyaan bagi Jawapan Lisan tersebut, sebanyak 3 pertanyaan bagi Jawapan Lisan yang dibenarkan untuk dikemukakan di bawah Peraturan Mesyuarat 22 (5)

 

2.Apakah tempoh notis Pertanyaan Jawab Lisan di bawah Peraturan Mesyuarat ini?

  • Tempoh notis pertanyaan bagi Jawapan Lisan di bawah Peraturan Mesyuarat 22 (5) adalah 7 hari bekerja sebelum hari yang hendak dibawa pertanyaan tersebut.

 

 

C. Kamar Khas (Special Chamber)

 

1.Apakah tujuan Kamar Khas (Special Chamber) diwujudkan? .

  • Kamar Khas diwujudkan bagi menimbangkan perkara di bawah Peraturan Mesyuarat 17 iaitu ucapan berkenaan apa-apa perkara tadbir dalam tanggungan Kerajaan dan Peraturan Mesyuarat 18 yang melibatkan perkara tertentu berkenaan kepentingan orang ramai yang berkehendak disegerakan.

 

2.Apakah cukup bilang (kuorum) untuk Kamar Khas?

  • Kamar Khas hendaklah mengandungi 3 orang ahli iaitu Tuan Yang di-Pertua, seorang ahli yang mengeluarkan usul dan seorang ahli Kerajaan.

 

3.Siapakah yang boleh mempengerusikan Kamar Khas?

  • Kamar Khas akan dipengerusikan oleh Tuan Yang di-Pertua. Walau bagaimanapun,Tuan Yang di-Pertua boleh meminta seseorang Ahli mempengerusikan Kamar Khas buat sementara waktu di mana terserah kepadanya semua kuasa-kuasa Tuan Yang di-Pertua sehingga Tuan Yang di-Pertua kembali ke Kamar Khas.

 

4.Bilakah Kamar Khas boleh bermesyuarat?

  • Kamar Khas boleh bermesyuarat pada bila-bila masa semasa persidangan Dewan sebagaimana yang ditentukan Tuan Yang di-Pertua.

 

5.Apakah tempoh persidangan untuk Kamar Khas?

  • Persidangan Kamar Khas akan dimulakan pada pukul 2:30 petang hingga 4:30 petang atau lebih awal. Tuan Yang di-Pertua juga boleh melanjutkan masa mesyuarat selepas jam 4:30 petang dengan tempoh tidak lebih daripada 15 minit.

 

C1.  Usul di bawah Peraturan Mesyuarat 17 – Usul berkenaan Perkara Tadbir  Kerajaan

1.Berapakah tempoh notis untuk mengemukakan usul di bawah Peraturan Mesyuarat ini?

  • Seseorang Ahli Parlimen hendaklah mengemukakan notis melalui surat kepada Tuan Yang di-Pertua dengan tempoh tidak kurang daripada 7 hari bekerja sebelum persidangan mesyuarat.

 

2.Berapakah had bilangan perkataan untuk Ucapan di bawah usul ini ?

  • Teks Ucapan Penangguhan untuk usul ini tidak boleh melebihi 400 patah perkataan.

 

3.Adakah mana-mana Ahli dibenarkan untuk memohon penjelasan sepanjang tempoh Ucapan?

  • Dalam masa Ucapan tidak boleh mana-mana Ahli meminta penjelasan atau mengganggu mana-mana Ahli yang sedang berucap.

 

4.Berapakah bilangan Ahli Yang Berhormat yang dibenarkan memberi Ucapan di bawah usul ini ?

  • Bagi setiap satu hari persidangan hanya 2 orang Ahli yang dibenarkan untuk memberikan ucapan di bawah peraturan ini.

 

5.Adakah undian dibuat untuk Ucapan di bawah usul ini ?

  • Tiada undian dibuat untuk perkara di bawah peraturan ini.

 

 

C2.  Usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18 – Perkara Tertentu  Berkenaan Kepentingan Orang Ramai yang Berkehendakkan Disegerakan.

 

1.Berapakah tempoh notis untuk mengemukakan usul ini?

  • Seseorang Ahli Parlimen hendaklah mengemukakan notis melalui surat kepada Tuan Yang di-Pertua dengan tempoh tidak kurang daripada 24 jam (1 hari tidak termasuk hari kelepasan) sebelum persidangan dimulakan.

 

2.Berapakah had bilangan perkataan dan apakah perkara yang dipertimbangkan bagi usul di bawah Peraturan Mesyuarat ini ?

  • Tidak melebihi 300 perkataan berserta penjelasan bertulis bagi mengenai mengapa perkara tersebut ialah perkara tertentu, berkehendak disegerakan dan melibatkan kepentingan orang ramai.

 

3.Adakah usul ini boleh dibahaskan?

  • Ya, usul ini akan dibuka untuk dibahaskan di dalam Kamar Khas setelah seseorang ahli membaca teks usul yang diluluskan oleh Tuan Yang di-Pertua.

 

4.Berapakah bilangan usul yang dibenarkan untuk dibentang di bawah Peraturan Mesyuarat ini ?

  • Bagi setiap hari persidangan, hanya 1 usul dibenarkan di bawah Peraturan Mesyuarat ini.

 

 

D. Waktu Pertanyaan Menteri (Minister Question Time)

 

1.Berapakah tempoh notis pemberitahuan untuk Pertanyaan-Pertanyaan Menteri dapat dikemukakan?

  • Pemberitahuan bertulis hendaklak dikemukakan 1 hari terlebih dahulu kepada Setiausaha Dewan dalam waktu pejabat biasa.

 

2.Bilakah Waktu Pertanyaan Menteri akan berlangsung?

  • Waktu Pertanyaan Menteri akan berlangsung pada pukul 10:00 pagi hingga 10:30 pagi setiap Selasa dan Khamis.

 

3.Berapakah pertanyaan yang boleh diajukan untuk Waktu Pertanyaan Menteri dan tempoh masa untuk setiap pertanyaan ?

  • Setiap pertanyaan dihadkan kepada 10 minit.

 

4.Adakah pertanyaan yang diajukan boleh dibahaskan atau tidak?

  • Pertanyaan yang diajukan tidak boleh dibahaskan.

 

5.Adakah pertanyaan tambahan dibenarkan?

  • Pertanyaan tambahan dibenarkan selagi dalam tempoh masa yang diberikan.