KENYATAAN MEDIA: SATU LAGI PENGIKTIRAFAN BUAT MALAYSIA

KUALA LUMPUR – Kemenangan Ahli Parlimen Parit Sulong, Dato’ Dr. Noraini Ahmad sebagai Pengerusi Ahli Parlimen Wanita Komanwel (CWP) bukan sahaja mencatat sejarah baru tetapi merupakan satu lagi pengiktirafan buat Malaysia di arena antarabangsa.

2. Selaku Pengerusi Kaukus Wanita Parlimen saya cukup berbangga dengan kemenangan besar yang di perolehi Dato’ Dr. Noraini Ahmad, kerana kemenangan ini turut membuktikan keyakinan negara luar terhadap kemampuan Malaysia dalam pelbagai hal. Selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Parlimen, saya berpandangan Persidangan Ahli Parlimen Komanwel (CPA) ini memberikan pendedahan yang baik kepada Ahli-Ahli Parlimen Malaysia dalam memartabatkan lagi institusi Parlimen.

3.Seramai lapan orang Ahli Parlimen iaitu enam Ahli Dewan Rakyat dan dua Ahli Dewan Negara telah menyertai Persidangan Ahli Parlimen Komanwel (CPA) yang ke-62 yang berlangsung di London. Persidangan kali ini turut disertai oleh Speaker dan Ahli Dewan Undangan Negeri-Negeri. Turut serta Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebagai tetamu khas CPA.

4. Tema yang dibawa dalam persidangan kali ini adalah Collaborative Commonwealth: Unity, Diversity and Common Challenges. Pelbagai isu telah dibincangkan dalam persidangan kali ini antaranya mengenai kebebasan beragama atau kepercayaan, membanteras keganasan terhadap wanita dan gadis, Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), perubahan iklim, radikalisasi generasi muda. (_fostering freedom of religion or belief; ending violence against women and girls; Sustainable Development Goals (SDGs); Climate Change; radicalisation of young people_).
YB Dato’ Sri Azalina Othman Said
Menteri di Jabatan Perdana Menteri

17 Disember 2016