KENYATAAN MEDIA: PENJAWAT AWAM PERLU JAGA INTEGRITI DAN AKAUNTIBILITI

PENJAWAT AWAM PERLU JAGA INTEGRITI DAN AKAUNTIBILITI

 
KUALA LUMPUR – Tindakan tegas perlu diambil kepada mana-mana penjawat awam atau bekas penjawat awam yang cuba menggunakan kedudukan mereka untuk membuat kenyataan atau berkelakuan yang boleh mendatangkan fitnah sekaligus memberi persepsi buruk terhadap kerajaan hari ini.

2. Di bawah Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 yang memperuntukkan bahawa tiada penyata / komen dibenarkan untuk menerbitkan / bercakap tanpa persetujuan terlebih dahulu daripada Menteri yang bertanggungjawab atau Jabatan. Rasional pelaksanaan peraturan ini adalah bagi mengelakkan salah faham dari sumber yang tidak sah dan juga untuk mengelakkan salah tafsir / salah faham berhubung keputusan Kerajaan. Peraturan ini terpakai kepada semua kakitangan awam yang masih dalam perkhidmatan.

3. Manakala mereka yang bersara daripada perkhidmatan, masih tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) yang memperuntukkan kesalahan yang berhubungan dengan pendedahan yang tidak dibenarkan berkaitan rahsia rasmi. Peruntukan dibawah Akta 88 diwujudkan bagi suatu kesalahan jika seseorang mendedahkan maklumat rahsia rasmi yang diperolehi semasa perkhidmatan selepas bersara. Semua kakitangan kerajaan perlu mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan untuk memastikan tiada salah faham timbul di kalangan orang ramai.

 
YB DATO’ SRI AZALINA OTHMAN SAID
4 Januari 2017