Kenyataan Media: PBT Pengerang Sejarah Baru Tercipta

PENGERANG – Terima kasih diiucapkan kepada Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin menyempurnakan majlis perasmian Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pengerang. Sesungguhnya kewujudan PBT Pengerang merupakan satu sejarah yang begitu bermakna buat seluruh warga Pengerang.

2.Selaku Ahli Parlimen Pengerang saya bersyukur dan percaya dengan adanya PBT Pengerang pembangunan masyarakat di Pengerang akan lebih tersusun dan sejahtera. Dengan keluasan 128,830 hektar Pengerang sebelum ini ditadbir urus oleh Lembaga Bandaran Johor Tenggara dan Majlis Daerah Kota Tinggi. PBT Pengerang telah diamanahkan kepada Johor Corporation untuk merancakkan lagi pertumbuhan di Pengerang.

3.Pembangunan yang begitu pesat di Pengerang sememangnya memerlukan satu badan khusus untuk mentadbir urus Parlimen Pengerang. Sejak Pengerang Integrated Petroleum Complex (PIPC) diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, Parlimen Pengerang menjadi tumpuan ramai pihak dalam luar negara untuk datang melabur di Pengerang. Kewujudan PIPC juga membuka mata ramai pihak untuk mengintai ruang dan peluang di Pengerang.

4.Sehubungan itu, saya amat berharap dengan wujudnya PBT Pengerang pembangunan akan lebih teratur dan lestari, malah saya juga berharap adanya PBT Pengerang akan memberi lebih banyak limpahan ekonomi rakyat tempatan. Pengumuman yang dibuat YAB Menteri Besar Johor bahawa Pengerang akan dilonjak sebagai penyumbang ekonomi global di bawah pembangunan Timur Johor menjadi satu amanah besar kepada PBT Pengerang dan rakyat di Pengerang untuk terus menyokong Kerajaan BN.
YB Dato’ Sri Azalina Othman Said
Ahli Parlimen Pengerang
Menteri di Jabatan Perdana Menteri

16 Januari 2017