KENYATAAN MEDIA: PELABURAN BESAR DI PENGERANG BUKTI MALAYSIA TERUS DIYAKINI

KUALA LUMPUR – Terima kasih dan tahniah diucapkan kepada YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak diatas kejayaan beliau menarik keyakinan Saudi Aramco untuk melabur di dalam projek Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor. Terima kasih juga kepada Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud di atas keyakinan baginda terhadap potensi yang ada di Malaysia.

2. Sebagai Ahli Parlimen Pengerang, saya bersama rakyat Pengerang rasa bersyukur kerana sudah pasti ia akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan untuk rakyat tempatan. Kejayaan ini membuat Parlimen Pengerang akan terus menjadi tumpuan pelabur dalam dan luar negara.

3. Semua anak jati Johor tidak kira kedudukan, agama dan bangsa harus mengalukan pelaburan besar seumpama ini kerana ia akan meletakkan negeri Johor di mata dunia. Pelaburan besar ini juga sekaligus memacu pembangunan negeri serta kemakmuran rakyat Johor dan Malaysia secara keseluruhanya.

4. Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Saudi Aramco dan Petronas sebentar tadi membuktikan bahawa dakwaan pembangkang sebelum ini yang mengatakan Saudi Aramco kononnya menarik diri adalah meleset sama sekali. Kejayaan ini tidak mampu direalisasikan tanpa ada usaha dari kerajaan negeri dan Persekutuan terutama dalam menarik pelabur bertaraf global.
DATO’ SRI AZALINA OTHMAN SAID
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri
28 Februari 2017