Pindaan Akta Kebankrapan 1967 Komprehensif dan Melegakan Rakyat

Isu penjamin sosial yang diisytiharkan bankrap oleh pemiutang (pihak bank) bukanlah suatu isu baharu malah telah lama menyelebungi beberapa kelompok rakyat diibaratkan sebagai mangsa keadaan. Mana tidaknya, niat baik dan kepercayaan yang diletakkan untuk membantu peminjam dengan menjadi penjamin sosial kepada peminjam akhirnya menyebabkan penjamin itu sendiri terjerat dalam belenggu kebankrapan.

 

Istilah ‘penjamin sosial’ adalah merujuk kepada tiga (3) kategori sebagaimana didefinisikan dalam Akta Kebankrapan 1967 iaitu individu yang menjadi penjamin kepada geran pendidikan atau penyelidikan, penjamin sewa beli kenderaan dan penjamin bagi pinjaman perumahan.

 

Lebih menarik, selepas Akta Kebankrapan 1967 dipinda kelak, golongan ini akan dilindung secara mutlak yang mana prosiding kebankrapan sama sekali tidak boleh dikenakan terhadap para penjamin sosial dalam ketiga-tiga kategori ini.

 

Berkenaan dengan perkara ini, bukan penjamin sosial sahaja yang akan mendapat manfaat dari pindaan Akta Kebankrapan 1967 ini tetapi juga turut akan dinikmati oleh penjamin bukan sosial apabila prosiding kebankrapan terhadap penjamin bukan sosial tidak boleh dikenakan tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada Mahkamah.

 

Sebelum mahkamah mengisytiharkan bankrap kepada penjamin bukan sosial, mahkamah perlu berpuas hati terlebih dahulu bahawa pemiutang telah mengambil semua tindakan pelaksanaan dan penguatkuasaan dalam mendapatkan hutangnya daripada peminjam. Dalam erti kata lain, pindaan ini juga akan memberi kelegaan tersendiri kepada penjamin bukan sosial.

 

Komponen penting lain yang terlibat dalam usaha pemerkasaan ini adalah dengan meningkatkan nilai minima kebankrapan (threshold) daripada RM30,000.00 ke RM50,000.00. Peningkatan nilai minima kebankrapan ini sekaligus akan mengurangkan peluang bagi pemiutang (pihak bank) untuk mengambil prosiding kebankrapan ke atas seseorang individu.

 

Bagi memastikan pindaan Akta Kebankrapan 1967 ini lebih komprehensif dan berpaksikan kehendak rakyat serta perkembangan situasi semasa, Kerajaan turut bercadang untuk memendekkan tempoh pelepasan seseorang bankrap daripada tempoh 5 tahun kepada hanya 3 tahun. Inisiatif Kerajaan ini akan memberi peluang kedua kepada mereka yang telah diisytiharkan bankrap untuk memulakan kehidupan baru.  Kaedah pelepasan awal ini adalah sejajar dengan standard antarabangsa yang diamalkan di negara-negara maju lain seperti United Kingdom, Hong Kong dan Australia. Bagi memenuhi keadaan dan persekitaran di Malaysia, kaedah yang dicadangkan telah diadaptasi dan diubahsuai mengikut acuan kesesuaian untuk dilaksanakan negara kita.

 

Kerajaan juga bercadang untuk mewujudkan pengecualian bantahan pemiutang bagi pelepasan kepada golongan bankrap yang tertentu sebagaimana berikut:

 

  • Penjamin sosial yang dibankrapkan di bawah Akta 360 sedia ada;

 

  • Bankrap yang telah meninggal dunia;

 

  • Bankrap yang disahkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagai seorang yang dikategorikan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU); dan

 

  • Bankrap yang telah disahkan oleh Pegawai Perubatan Kerajaan sebagai penghidap penyakit kronik atau serius.

 

 

Selain itu, pindaan kepada Akta ini juga mengambil kira isu ketidakadilan kepada penghutang itu sendiri iaitu berkenaan dengan penyampaian Notis Kebankrapan  dan Petisyen Kebankrapan yang dihantar ataupun disampaikan bukan secara terus kepada diri penghutang yang menyebabkan penghutang dibankrapkan tanpa pengetahuan mereka.

 

Oleh yang sedemikian, kaedah penyampaian Notis Kebankrapan  dan Petisyen Kebankrapan yang diserahkan melalui kaedah penyampaian ganti (bukan terus kepada penghutang) kini dicadangkan agar hanya penyampaian secara ke diri penghutang dengan akaun terimaan penghutang sahaja untuk dilaksanakan bagi mengelakkan ketidakadilan seperti pemiutang (pihak bank) mengambil kesempatan atas kelemahan undang-undang untuk membankrapkan seseorang individu.

 

Dua kaedah baru turut dicadangkan bagi menambahbaik amalan insolvensi negara ke tahap yang lebih tinggi iaitu dengan cadangan pelaksanaan mekanisme penyelamat (rescue mechanism) dan mewujudkan Kumpulan Wang Bantuan Insolvensi.

 

Secara umumnya, mekanisme penyelamat adalah bersifat ‘serampang dua mata’ dengan membantu seseorang penghutang untuk menyelesaikan hutangnya dan pemiutang berpeluang atau berhak untuk mendapat pulangan hutang sebanyak mungkin. Manakala Kumpulan Wang Bantuan Insolvensi pula dilihat boleh memperkasa pentadbiran insolvensi bagi menjadi lebih efektif dan efisien seperti yang diamalkan di negara-negara maju lain iaitu Singapura dan Hong Kong.

 

Akhir sekali, segala cadangan-cadangan yang digariskan ini memperlihatkan keseriusan Kerajaan dalam mencari jalan penyelesaian yang tuntas sekaligus memberi kelegaan dan keadilan kepada rakyat khususnya kepada para penjamin sosial. Kerajaan melalui Jabatan Insolvensi Malaysia merupakan pemudah cara bagi membantu rakyat yang dibelenggu masalah kebankrapan selepas dibankrapkan oleh pemiutang (pihak bank).