SIARAN MEDIA: MEGAWATI TIBA DI MALAYSIA HADIRI SEMINAR KEBANGSAAN JENAYAH SEKSUAL KANAK-KANAK : HENTIKAN!!!

PUTRAJAYA – Bekas Presiden Republik Indonesia PYT Ibu Diah Permata Megawati Setiawati Soekarnoputri tiba di Malaysia kira-kira jam 6.08 petang tadi. Ketibaan beliau disambut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Sri Azalina Othman Said di Kompleks Bunga Raya, Sepang.

Turut serta dalam delegasi ini adalah Menteri Koordinator Bidang Pembangunan Manusia dan Kebudayaan, (Menko PMK), PYT Puan Maharani, dan Menteri Kesihatan, PYT Nila Djuwita Anfasa Moeloek.

Kehadiran beliau ke Malaysia adalah atas undangan Penaung PERMATA, YABhg Datin Seri Rosmah Mansor untuk hadir ke Seminar Kebangsaan Jenayah Seksual Kanak-Kanak:Hentikan!!! yang bermula esok (13 Mac 2017) di PWTC. Beliau juga dijadualkan akan memberi perutusan khas bertajuk, ‘Kerjasama ASEAN dalam membanteras jenayah seksual kanak-kanak’ pada 14 Mac 2017.

Menurut Dato’ Sri Azalina Othman Said, kehadiran bekas Presiden Republik Indonesia itu ke seminar ini disifatkan sebagai tanda penghormatan kepada pihak penganjur dalam usaha menangani masalah jenayah seksual terhadap kanak-kanak. Tambah beliau, kesudian PYT Ibu Diah Permata Megawati Setiawati Soekarnoputri untuk memberi perutusan khas juga membuktikan isu yang dibawa Malaysia mendapat perhatian negara jiran.
12 MAC 2017