KENYATAAN MEDIA: AHLI PARLIMEN DIGESA SOKONG RUU KESALAHAN-KESALAHAN SEKSUAL KANAK-KANAK 2017

KUALA LUMPUR – Tahniah kepada PERMATA Negara yang diterajui oleh YABhg Datin Sri Rosmah Mansor yang telah menganjurkan Seminar Kebangsaan Jenayah Seksual Kanak-Kanak: Hentikan!!! dengan jayanya. Terima kasih kepada YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak yang mengumumkan secara rasmi bahawa Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 akan dibentang pada sesi Dewan Rakyat kali ini. Seperti mana yang ditekankan oleh YAB Perdana Menteri, kita sama sekali tidak boleh berkompromi dalam isu jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

2.Selaku Menteri yang bertanggungjawab ke atas Parlimen saya amat berharap Ahli-Ahli Parlimen dapat bersama-sama untuk memastikan RUU ini dapat dibahaskan dan diluluskan dengan sokongan penuh oleh kesemua ahli Dewan. Undang-undang baharu ini akan menepati isu-isu semasa berkaitan penderaan seksual kanak-kanak secara menyeluruh dan komprehensif. Antara perkara baharu yang akan diliputi dalam Akta yang bakal diwujudkan adalah child sexual grooming dan pornografi kanak-kanak.

3.Penubuhan Task Force Jenayah Seksual Kanak-Kanak yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri telah membuka ruang dan peluang bagi pelbagai pihak bekerjasama untuk mencari satu pendekatan bagi menangani isu ini. Pengumuman YAB Perdana Menteri untuk mewujudkan satu Mahkamah Jenayah Khas adalah satu langkah proaktif Kerajaan bagi memastikan tiada pesalah jenayah seksual terlepas daripada hukuman yang diperuntukkan dalam undang-undang tersebut.

4.Hak kanak-kanak untuk mendapatkan perlindungan dari ancaman harus dihormati seperti mana orang dewasa. Walaubagaimanapun kewujudan undang-undang sahaja tidak mencukupi dalam menangani apa-apa masalah jenayah, justeru peranan semua pihak diperlukan untuk memastikan isu ini tidak terus menular dalam masyarakat kita.

DATO’ SRI AZALINA OTHMAN SAID
Menteri di Jabatan Perdana Menteri

13 Mac 2017