RUU Kesalahan Seksual dilulus

KUALA LUMPUR – Rang Undang-undang (RUU) Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 diluluskan Dewan Negara di sini semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, RUU tersebut adalah akta pertama dan menjadi sejarah dalam sistem perundangan negara ini apabila mewujudkan definisi pornografi terhadap kanak-kanak.

“RUU berkenaan juga mengiktiraf kanak-kanak sebagai saksi kompeten dan akan mengambil kira keterangan kanak-kanak terlibat di mahkamah mengambil kira situasi kanak-kanak tersebut.

“Kalau kita berkomunikasi secara seksual dengan kanak-kanak, kita akan boleh dikenakan pertuduhan. Jadi kita perlu berhati-hati apabila bercakap dengan kanak-kanak,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU itu pada sidang Dewan Negara di sini semalam. Sementara itu, tiga lagi RUU iaitu Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (Pindaan) 2017, Mahkamah (Kaedah-Kaedah Permulaan Tindakan Sivil) 2016 dan Saraan Hakim (Pindaan) 2017 turut diluluskan semalam.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz ketika membuat penggulungan RUU Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (Pindaan) 2017 berkata, pindaan tersebut bertujuan bagi melaksanakan pertukaran maklumat berkaitan percukaian secara automatik antara kerajaan dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi.

“Melalui pindaan RUU ini, pertukaran maklumat dapat diperkemas dan kerjasama aspek pungutan cukai yang lebih efektif berdasarkan maklumat pembayar cukai yang lebih tepat dan terkini dapat diwujudkan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata, RUU Mahkamah (Kaedah-Kaedah Permulaan Tindakan Sivil) 2016 berkata, selepas akta berkuat kuasa, semua tindakan sivil di mahkamah diseragamkan menggunakan cara permulaan pro­siding iaitu saman pemula atau writ, melainkan jika akta atau ordinan memberikan pengecua­lian.

Beliau berkata, RUU Saraan Hakim (Pindaan) 2017 pula bertujuan meminda Akta Saraan Hakim 1971 antara lainnya membenarkan seseorang hakim meletakkan jawatannya pada apa-apa umur tanpa kehilangan hak pencennya dengan syarat telah memegang jawatan untuk tempoh berterusan tidak kurang daripada lima tahun. Kesemua RUU tersebut diluluskan tanpa dibahas dan pindaan. – Bernama