DEWAN NEGARA DITANGGUH, LULUS 13 RUU

KENYATAAN MEDIA

YB DATO’ SRI AZALINA OTHMAN SAID
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI

DEWAN NEGARA DITANGGUH, LULUS 13 RUU

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-13 Dewan Negara ditangguhkan hari ini dengan meluluskan 13 Rang Undang-Undang dan sebanyak 757 pertanyaan-pertanyaan jawab lisan telah dikemukakan. Sidang kali ini juga menyaksikan Ahli-Ahli Dewan Negara kembali bersidang di bangunan asal yang telah dinaik taraf.

2. Terima kasih kepada semua Ahli-Ahli Dewan Negara yang mengambil bahagian dalam perbahasan dan menyatakan komitmen dalam meluluskan 13 Rang Undang-Undang ini. Rang Undang-Undang ini akan dikemukakan untuk perkenan Yang Di-Pertuan Agong sebelum diwartakan. Antara yang menjadi tumpuan rakyat adalah Rang Undang-Undang Kebankrapan (Pindaan) 2016 di mana bakal memberi peluang kedua kepada golongan bankrap untuk keluar daripada status kebankrapan. Pindaan ini juga membuktikan kerajaan komited untuk meringankan beban rakyat seperti mana yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri dalam ucapan Bajet Tahun 2017.

3. Selaku Menteri yang dipertanggungjawab mengetuai Task Force, saya berbesar hati apabila Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 diluluskan dengan sebulat suara dan dijangka dapat dikuatkuasakan sebelum Sambutan Hari Wanita tahun ini. Rang Undang-Undang ini merupakan usaha kerajaan bagi melindungi kanak-kanak daripada terus menjadi mangsa kepada individu-individu tidak berperikemanusiaan diluar sana.

4. Berikut adalah 13 Rang Undang-Undang yang diluluskan; Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2016) 2017, Rang Undang-Undang Kebankrapan (Pindaan) 2016, Rang Undang-Undang Mahkamah (Kaedah-Kaedah Pemulaan Tindakan Sivil) 2016, Rang Undang-Undang Saraan Hakim (Pindaan) 2017, Rang Undang-Undang Timbang dan Sukat (Pindaan) 2017, Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017, Rang Undang-Undang Perdagangan Strategik (Pindaan) 2017, Rang Undang-Undang Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (Pindaan) 2017, Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017, Rang Undang-Undang Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (Pindaan) 2017, Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2017, Rang Undang-Undang Perlindungan Pengguna (Pindaan) 2017, dan Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan 2017.

DATO’ SRI AZALINA OTHMAN SAID
Menteri di Jabatan Perdana Menteri

27 April 2017