Malaysia Berunding Dengan AALCO Untuk Nama Semula KLRCA

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia akan mengadakan rundingan dengan Pertubuhan Perundingan Perundangan Asia Afrika (AALCO) untuk menamakan semula  Pusat Serantau Timbang Tara Kuala Lumpur (KLRCA) sebagai Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (Malaysia), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Azalina berkata sebuah Jawatankuasa Sementara akan ditubuhkan untuk mengetuai inisiatif ini dan disusuli dengan pindaan pada akta-akta yang perlu termasuk Akta Timbang Tara 2005 (sebagaimana dipinda pada  2011) untuk memasukkan perubahan semasa dan antarabangsa untuk menjadikan Malaysia sebagai hab antarabangsa bagi Penyelesaian Pertikaian Alternatif (ADR).

“Melalui projek-projek ini pada tahun-tahun akan datang, saya kain bahawa KLRCA dan Malaysia tidak lama lagi akan  menjadi hab global bagi ADR di dunia,” kata beliau dalam ucapannya pada Minggu ADR Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIAW 2017).

Pusat tersebut telah banyak menjalankan usaha sejak penubuhannya pada 1978, mengatasi cabaran sepanjang tiga dekad yang lalu sehinggalah kemunculan semulanya pada tahun-tahun kebelakangan ini.

Beliau berkata, inisiatif ini bersama pelbagai inisiatif yang lain ialah untuk memastikan Malaysia berada di barisan hadapan Inisiatif “Óne Belt One Road”.

China melancarkan inisiatif One Belt One Road pada 2013 sebagai strategi pembangunan yang memberi tumpuan kepada kesalinghubungan dan kerjasama di kalangan pelbagai negara.