AZALINA: TINGKATKAN PRODUKTIVITI UNTUK GANDAKAN GANJARAN DI BULAN RAMADAN

PUTRAJAYA – YB Dato’ Sri Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri hari ini turut sama berbuka puasa dengan pegawai dan kakitangan daripada 12 agensi dan jabatan yang berada di bawah tanggung jawab beliau. Majlis Iftar ini diadakan di Bahagian Hal-Ehwal Undang-Undang (BHEUU), dan dihadiri oleh kira-kira 400 orang. Dato’ Sri Azalina turut menyampaikan sumbangan kepada 36 pegawai dan kakitangan yang mempunyai anak kurang upaya (OKU) atau pasangan yang mengidap penyakit kronik.

2. Majlis ini dapat mengeratkan silaturrahim antara pegawai dan kakitangan pelbagai agensi dan jabatan sekaligus mewujudkan suasana kerja yang harmoni. Persekitaran yang kondusif mampu meningkatkan produktiviti para penjawat awam untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Seperti mana yang disebut YAB Perdana Menteri semalam, selain perlu menyokong dasar kerajaan penjawat awam perlu menjalinkan kerjasama dengan bahagian-bahagian lain menerusi pandangan yang lebih meluas. Kerja adalah satu ibadah, justeru ambillah peluang melibat gandakan perkhidmatan di bulan Ramadan ini.

3. Antara yang hadir termasuk Ketua Pengarah BHEUU, Datuk Abdul Jalil Marzuki, serta ketua-ketua jabatan dan wakil-wakil daripada Jabatan Insolvensi Malaysia, Jabatan Bantuan Guaman, Parlimen Malaysia, Biro Tatanegara, Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan dan Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri serta pihak media.