KONVENSYEN BUDAPEST KUKUHKAN KERJASAMA ANTARABANGSA MEMERANGI JENAYAH SIBER

SIARAN MEDIA

KONVENSYEN BUDAPEST KUKUHKAN KERJASAMA ANTARABANGSA MEMERANGI JENAYAH SIBER

STRASBOURG – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Sri Azalina Othman Said mengadakan lawatan kerja ke Strasbourg, Perancis bagi menghadiri 17th Plenary Meeting of the Cybercrime Convention Committee (TC-Y), Council of Europe Convention on Cybercrime (Konvensyen Budapest). Kehadiran beliau bersama delegasi atas jemputan Council of Europe adalah sebagai pemerhati dan mendapat penjelasan lebih lanjut berkenaan Konvensyen Budapest dari segi aspek perundangan, pengoperasian, teknikal serta pentadbiran. Beliau juga telah menyampaikan ucaptama khas kepada Cybercrime Convention Committee yang dihadiri oleh wakil-wakil Kerajaan dari pelbagai negara.

2. Konvensyen Budapest adalah perjanjian antarabangsa yang melibatkan internet dan rangkaian komputer serta jenayah tradisional yang menggunakan komputer sebagai medium seperti kesalahan berkaitan pelanggaran hak cipta, penipuan berkaitan komputer (computer-related fraud) dan pornografi kanak-kanak (child pornography). Sehingga 1 Jun 2017, sebanyak 55 negara telah meratifikasi Konvensyen tersebut. Konvensyen Budapest ini antara lain bertujuan untuk menyelaras elemen substantif yang terkandung dalam undang-undang bagi jenayah siber serta mewujudkan rejim kerjasama antarabangsa yang berkesan.

3. Penglibatan delegasi Malaysia ke Konvensyen Budapest merupakan antara pendekatan yang diambil sebagai usaha melihat kepada amalan terbaik antarabangsa dalam mengendalikan ancaman siber termasuk pornografi kanak-kanak dan jenis-jenis ancaman jenayah seksual alaf baru yang membahayakan keselamatan kanak-kanak. Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 4 April 2017 dan Dewan Negara pada 26 April 2017 secara khususnya juga mempunyai peruntukan khusus kesalahan-kesalahan yang berhubungan dengan pornografi kanak-kanak di mana rujukan utama dibuat kepada Konvensyen Budapest. Disamping itu, Kerajaan Malaysia juga telah mengiktiraf Konvensyen Budapest sebagai triti antarabangsa pertama dalam memerangi jenayah Internet. Sehubungan itu, kajian yang mendalam akan dilakukan bersama Jabatan Peguam Negara, Majlis Keselamatan Negara dan agensi-agensi penguatkuasa yang lain sebelum Malaysia menyertai (accede to) Konvensyen Budapest.

4. Menerusi siri lawatan kerja ini, Dato’ Sri Azalina telah mengadakan pertemuan antara lain dengan Timbalan Setiausaha Agong Majlis Eropah, Gabriella Battaini-Dragoni dan Ketua Pengarah Direktorat Hak Asasi Manusia dan Undang-Undang Majlis Eropah, Philippe Boillat. Turut serta dalam delegasi tersebut adalah Datin Paduka Zauyah Be T.Loth Khan, Peguam Cara Negara II, wakil Jabatan Peguam Negara, Majlis Keselamatan Negara dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

9 Jun 2017