KENYATAAN MEDIA – JANGAN POLITIKKAN PELANTIKAN KETUA HAKIM NEGARA

PUTRAJAYA – Pelantikan YAA Tan Sri Md Raus Sharif dan YAA Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin adalah menurut dengan Fasal (1A) Perkara 122 Perlembagaan Persekutuan. Peruntukan ini dengan jelas telah menyatakan bahawa pelantikan Hakim Tambahan bagi Mahkamah Persekutuan adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong atas sembah nasihat Ketua Hakim Negara pada sesuatu masa. Sembah nasihat YAA Tun Arifin Zakaria kepada Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan YAA Tan Sri Md Raus Sharif dan YAA Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin telah di buat pada 30 Mac 2017 iaitu ketika beliau masih lagi meyandang jawatan sebagai Ketua Hakim Negara.
2. Pelantikan Hakim Tambahan bagi Mahkamah Persekutuan juga bukan perkara baru kerana terdapat amalan sebelum ini di mana pada tahun 2016 bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Jeffrey Tan Kok Hwa telah dilantik semula bagi tempoh dua tahun. Manakala, pada tahun 1965 bekas hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri S Chelvasingam MacIntyre juga pernah dilantik semula sebagai Hakim Tambahan bagi Mahkamah Persekutuan. Perlembagaan Persekutuan juga tidak menghalang untuk mana-mana Hakim Tambahan bagi Mahkamah Persekutuan yang di lantik untuk terus menyandang sesuatu jawatan.
3 . Saya juga berpendapat kepakaran dan pengalaman yang dimiliki oleh mereka amat diperlukan oleh Badan Kehakiman Negara. Justeru, saya berharap semua pihak berhenti mempolemikkan isu ini dan membenarkan mereka untuk terus memartabatkan Badan Kehakiman Negara. Pada masa yang sama semua pihak juga harus menghormati pelantikan kedua-dua Hakim Tambahan itu yang telah mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Agong. Bagaimanapun, mana-mana pihak yang berpendapat bahawa pelantikan Ketua Hakim Negara adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan boleh membawa perkara itu ke mahkamah mengikut undang-undang sedia ada.