KENYATAAN MEDIA – PINDAAN AKTA 26 PASTIKAN DANA AWAM HANYA KEPADA WARGANEGARA

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang Bantuan Guaman (Pindaan) 2017 (Akta 26) yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini akan memastikan dana awam yang diperuntukkan oleh Kerajaan bagi perkhidmatan bantuan guaman diberi kepada warganegara Malaysia sahaja. Perkara ini merupakan salah satu daripada lima pindaan yang dibuat dalam Rang Undang-Undang tersebut.
2. Pindaan ini juga akan memperkenalkan konsep yang baharu iaitu pendamping guaman kepada mangsa kesalahan jenayah terhadap kanak-kanak. Khidmat ini diberikan khusus kepada mangsa kesalahan jenayah terhadap kanak-kanak dan masih seorang kanak-kanak semasa prosiding dijalankan di mahkamah.

 

3. Antara lain ialah memasukkan takrif bantuan guaman ke dalam Akta ini bagi memperjelaskan bentuk bantuan yang diberikan. Selain itu, menstruktur semula peruntukan mengenai fi pendaftaran serta menambah baik ujian kemampuan selaras dengan dasar semasa kerajaan.

 

4.Secara keseluruhannya, dari segi ekonomi, Rang Undang-Undang Bantuan Guaman (Pindaan) 2017 ini, Kerajaan dapat menyelaraskan pemberian perkhidmatan bantuan guaman dengan bantuan-bantuan yang diberikan kepada golongan-golongan tertentu seperti eKasih, BR1M dan B40. Pindaan Akta ini juga bagi memastikan kelestarian Jabatan Bantuan Guaman (JBG) dan perkhidmatan yang diberikan memberi impak kepada masyarakat untuk mendapatkan akses keadilan yang sewajarnya.