RUU bantuan guaman dibentang

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Bantuan Guaman (Pindaan) 2017 yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini akan memastikan dana awam yang diperuntukkan oleh kerajaan bagi perkhidmatan bantuan guaman diberi kepada warga negara Malaysia saja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata perkara itu adalah satu daripada lima pindaan yang dibuat dalam RUU itu.

Katanya, pindaan itu juga akan memperkenalkan konsep yang baharu iaitu pendamping guaman kepada mangsa kesalahan jenayah terhadap kanak-kanak.

“Khidmat ini diberikan khusus kepada mangsa kesalahan jenayah terhadap kanak-kanak dan masih seorang kanak-kanak semasa prosiding dijalankan di mahkamah,” katanya dalam kenyataan media mengenai pembentangan RUU itu untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.

Azalina berkata, pindaan itu juga memasukkan takrif bantuan guaman ke dalam akta bagi memperjelaskan bentuk bantuan yang diberikan.

Selain itu, menstruktur semula peruntukan mengenai fi pendaftaran serta menambah baik ujian kemampuan selaras dengan dasar semasa kerajaan.

“Secara keseluruhannya, dari segi ekonomi, RUU ini memudahkan kerajaan menyelaraskan pemberian perkhidmatan bantuan guaman dengan bantuan yang diberikan kepada golongan tertentu seperti eKasih, (Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dan B40.

“Pindaan Akta ini juga bagi memastikan kelestarian Jabatan Bantuan Guaman (JBG) dan perkhidmatan yang diberikan memberi impak kepada masyarakat untuk mendapatkan akses keadilan yang sewajarnya,” katanya.