RUU Bantuan Guaman hanya untuk rakyat tempatan

KUALA LUMPUR 3 Ogos – Rang Undang-Undang (RUU) Bantuan Guaman (Pindaan) 2017 (Akta 26) yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini akan memastikan dana awam yang diperuntukkan oleh kerajaan bagi perkhidmatan bantuan guaman tersebut disalurkan khusus untuk warganegara Malaysia.

Menteri di Jabatan Per­dana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pindaan itu merupakan satu daripada lima pindaan yang dibuat dalam RUU tersebut.

Katanya, RUU tersebut juga akan memperkenalkan konsep baharu iaitu pendamping guaman kepada mangsa kesalahan jenayah terhadap kanak-kanak.

“Khidmat ini diberikan khusus kepada mangsa kesalahan jenayah terhadap kanak-kanak dan masih seorang kanak-kanak semasa prosiding dijalankan di mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Azalina, manfaat lain RUU berkenaan adalah memasukkan takrif bantuan guaman ke dalam akta bagi memperjelaskan bentuk guaman yang diberikan.

Selain itu, kata­nya, pindaan akta itu menggariskan penstrukturan semula peruntukan mengenai fi pendaftaran serta menambah baik ujian kemampuan selaras dengan dasar semasa kerajaan.

“Secara keseluruhannya, kerajaan dapat menyelaraskan pemberian perkhidmatan bantuan guaman dengan bantuan-bantuan yang diberikan kepada golongan-go­longan tertentu seperti e-Kasih, Bantuan Rakyat 1Malaysia dan B40,” jelasnya.

Beliau menambah, pindaan akta itu juga bertujuan memastikan kelestarian Jabatan Bantuan Guaman dan perkhidmatan yang diberikan memberi impak kepada masyarakat untuk mendapatkan akses keadilan yang sewajarnya.