Pendamping Guaman Bagi Jenayah Seks Kanak-Kanak

KUALA LUMPUR – Penyediaan khidmat pendamping guaman kepada mangsa kesalahan seksual kanak-kanak merupakan antara konsep baharu yang diperkenalkan dalam pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Bantuan Guaman (Pindaan) 2017 (Akta 26).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata khidmat ini diberikan khusus kepada mangsa berkenaan yang masih merupakan seorang kanak-kanak semasa prosiding dijalankan di mahkamah.

“Perkara ini merupakan salah satu daripada lima pindaan yang dibuat dalam RUU tersebut,” katanya dalam satu kenyataan selepas beliau membentangkan pindaan RUU itu di persidangan Dewan Rakyat untuk bacaan kali kedua di sini hari ini.

Katanya lagi, RUU itu juga bagi memastikan dana awam yang diperuntukkan oleh kerajaan bagi perkhidmatan bantuan guaman diberi kepada warganegara Malaysia sahaja.

RUU tersebut juga antara lain memasukkan takrif bantuan guaman ke dalam akta ini bagi memperjelaskan bentuk bantuan yang diberikan, menstruktur semula peruntukan mengenai fi pendaftaran serta menambah baik ujian kemampuan selaras dengan dasar semasa kerajaan.

Dengan pindaan RUU itu, katanya, kerajaan menyelaraskan pemberian perkhidmatan bantuan guaman diberikan kepada mereka yang berpendapatan rendah seperti golongan E-Kasih, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan B40.

“Pindaan akta ini bagi memastikan kelestarian Jabatan Bantuan Guaman dan perkhidmatan yang diberikan memberi impak kepada masyarakat untuk mendapatkan akses keadilan yang sewajarnya,” katanya.