MP pembangkang cemar imej parlimen

Tindakan Anggota Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sean mengemukakan saman kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin telah mencemar nama baik parlimen, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

“Tindakan ini telah membelakangkan kebebasan institusi parlimen seperti yang termaktub dalam Perlembagaaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hee semalam memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mencabar keputusan Pandikar menolak dua soalan yang berkaitan dengan skandal 1MDB.

Azalina berkata sebagai anggota parlimen, Hee sepatutnya memahami hak dan keistimewaan Parlimen, terutama yang disebut dalam Perkara 63 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Perkara 63 (1) menyebut “Kesahan apa-apa prosiding di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen atau dalam mana-mana jawatankuasanya tidak boleh dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah.”

Sehubungan itu, Azalina berkata tindakan anggota parlimen PKR mengemukan saman kepada Pandikar hanya bertujuan untuk mempolemikkan isu berkenaan.

Minggu lepas, anggota parlimen pembangkang mengkritik speaker selepas menolak lebih 30 soalan berkaitan dengan 1MDB pada sesi Dewan Rakyat.

Sambil mempertahankan keputusannya, Pandikar mengatakan ada peraturan dan prosedur yang mesti diikuti, termasuk soalan-soalan yang tidak harus mengandungi tuduhan, andaian dan menyinggung perasaan di dalam dewan.

Bagaimanapun anggota parlimen masih mempunyai pilihan untuk mengemukakan usul bagi mengkaji semula keputusan itu.

Usul seperti itu bagaimanapun jarang- jarang sekali berlaku apabila urusan kerajaan lebih diutamakan di Dewan Rakyat.