KENYATAAN MEDIA – AHLI PARLIMEN PJS CEMAR IMEJ PARLIMEN

KUALA LUMPUR – Tindakan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan mengemukakan saman kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin mencemar nama baik Parlimen. Tindakan ini telah membelakangkan kebebasan institusi Parlimen seperti yang termaktub dalam Perlembagaaan Persekutuan.

2. Perkara 63, (1) Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukan mengenai Keistimewaan Parlimen yang mana secara jelas telah menyatakan “Kesahan apa-apa prosiding di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen atau dalam mana-mana jawatankuasanya tidak boleh dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah”. Sebagai seorang pengubal undang-undang, anggota Parlimen PKR seharusnya lebih faham mengenai apa yang terkandung dalam Perlembagaan mengenai hak dan keistimewaan Parlimen.

3. Manakala, Peraturan Mesyuarat 99 Dewan Rakyat, menyebut “Keputusan Tuan Yang di-Pertua berkenaan dengan sebarang perkara tafsir dalam mana-mana jua Peraturan Mesyuarat ini atau berkenaan dengan kelaziman adalah muktamad kecuali jika ada usul bersendiri menentang keputusan itu. Tuan Yang di-Pertua dari satu masa ke satu masa boleh mengeluarkan petua-petua berkenaan dengan perkara itu”.

4. Sehubungan itu, tindakan Anggota Parlimen PKR ini juga mencerminkan bahawa mereka sengaja mahu mempolemikkan isu ini sehingga membawa ke Mahkamah, sedangkan terdapat cara lain lagi yang boleh dilakukan termasuklah dengan mengemukakan usul kepada Speaker. Malah isu yang dibangkitkan juga sudah diperjelaskan oleh Speaker dalam satu sidang media yang diadakan pada minggu lalu.