Cadang kerjasama strategik dengan NCMEC

KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang mengadakan kerjasama strategik dengan Pusat Kebangsaan bagi Kanak-Kanak Hilang dan Dieksploitasi (NCMEC) di Washington, Amerika Syarikat (AS) dalam usaha melindungi kanak-kanak daripada eksploitasi seksual.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata pada masa sama, Pasukan Petugas Khas Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak juga akan meneliti dan mengkaji dengan lebih lanjut berkaitan pendekatan dilaksanakan NCMEC untuk dilaksanakan di Malaysia mengikut kesesuaian semasa.

Katanya, cadangan itu tercapai hasil lawatan beliau bersama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ke NCMEC yang turut disertai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

“Pertemuan bersama NCMEC ini memberi peluang kepada Malaysia untuk mempelajari dan mendapatkan pandangan mengenai isu yang diperjuangkan oleh badan terbabit khususnya membantu usaha mencari kanak-kanak yang hilang dan mendapatkan laporan berkenaan eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azalina mengadakan lawatan kerja ke New York dan Washington bermula Isnin lalu bertujuan mendapatkan amalan terbaik antarabangsa dalam menguruskan jenayah siber termasuk berkaitan pornografi dan eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak.

Lawatan kerja selama empat hari yang berakhir kelmarin juga bertujuan meneliti jenis-jenis ancaman jenayah seksual alaf baharu yang membabitkan keselamatan kanak-kanak.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, lawatan itu adalah langkah susulan daripada kejayaan penubuhan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 dan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak.

Selain itu katanya, lawatan kerja rasmi itu juga telah meningkatkan lagi kerjasama antarabangsa antara dua buah negara dalam pertukaran maklumat dan kepakaran teknikal dalam aspek-aspek tertentu sekali gus mengukuhkan lagi hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara.

“Beberapa perjumpaan telah diadakan termasuk kunjungan hormat ke atas Peguam Daerah New York, Cyrus R Vance Jr.

“Delegasi turut mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak berkepentingan antaranya, Pemangku Peguam Amerika Syarikat Southern New York, Joon H Kim; Ketua Bahagian Jenayah, Jabatan Keadilan Amerika Syarikat; Pejabat Peguam Negara bagi Southern New York, Lisa Zornberg; Penolong Peguam Negara dan Penyelaras Jenayah Siber, Eun Young Choi dan Ejen Khas, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ), John Robertson,” katanya.

Selain itu Azalina berkata, pihaknya turut mengadakan pertemuan bersama Timbalan Ejen Khas, Jabatan Penyiasatan, Keselamatan Dalam Negeri, Amerika Syarikat, Richard A. Jolles; Penyelia Khas Jabatan Penyiasatan, Keselamatan Dalam Negeri, Amerika Syarikat, Marina Vides dan Unit Tindak Balas Penyeludupan Manusia.

Susulan daripada lawatan berkenaan, pelbagai bentuk usaha sama antarabangsa dalam aspek tertentu akan dikaji dan diadakan dengan pihak penguatkuasaan undang-undang di AS bagi terus memperkasa pentadbiran, proses kerja, infrastruktur dan teknologi terkini dalam menambah baik proses keadilan jenayah di Malaysia.

“Lawatan kerja di New York itu diakhiri dengan satu perjumpaan tidak rasmi dengan pelajar Malaysia di New York,” katanya.