KENYATAAN MEDIA – BERHENTI BUAT SPEKULASI, BERI RUANG PADA PIHAK BERKUASA JALANKAN SIASATAN

PUTRAJAYA – Insiden kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah baru-baru ini cukup menyayat hati seluruh rakyat Malaysia apabila mengorbankan 23 nyawa. Lebih mengejutkan apabila suspek utama kes tersebut masih lagi dibawah umur 18 tahun.

2. Tiada mana-mana individu boleh mengatasi Undang-Undang, suspek berkenaan akan diadili mengikut undang-undang sedia ada. Ketika ini kesemua suspek masih ditahan reman dan disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.
3. Sekiranya mereka disabit bersalah dibawah Seksyen 302, Kanun Keseksaan, namun Seksyen 97 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 menjelaskan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan kepada pesalah kanak-kanak dibawah umur 18 tahun. Bagaimanapun, mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana yang diperkenan oleh Yang Dipertuan Agong atau Yang Dipertua Negeri. Selain itu, pesalah juga boleh dikenakam hukuman seperti yang termaktub dibawah Seksyen 91 (1). Manakala Seksyen 94 Akta yang sama, memberi kuasa kepada Mahkamah untuk memerintah supaya ibu bapa dikenakan denda atau membayar pampasan.
4. Insiden ini perlu dijadikan pengajaran kepada semua pihak khususnya ibu bapa dalam membendung kes-kes jenayah melibatkan kanak-kanak. Saya berharap semua pihak perlu berhenti membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan. Saya percaya kes ini akan diadili sebaik mungkin setelah dibawa ke Mahkamah nanti.

DATO’ SRI AZALINA OTHMAN SAID
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
21 September 2017