KENYATAAN MEDIA : EMPAT SOP KHAS KENDALI KES JENAYAH SEKSUAL KANAK-KANAK

 

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kerja Bagi Menyediakan Garis Panduan Khas (SOP) Untuk Mengendalikan Kes-Kes Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak bermesyuarat buat kali pertama hari ini. Pembentukan jawatankuasa ini adalah langkah susulan selepas penubuhan Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-Kanak pada 22 Jun 2017.

2.​ Jawatankuasa ini akan membuat kajian secara komprehensif serta mengambil pandangan daripada pihak-pihak berkepentingan termasuk mengenai psikologi kanak-kanak untuk meneliti empat SOP Khas yang akan digunakan pakai nanti. Empat SOP khas tersebut adalah ;

a) Garis Panduan Penerimaan Laporan Dan Siasatan Bagi Kes Seksual Kanak-Kanak
b) Garis Panduan Perbicaraan Bagi Kes Seksual Terhadap Kanak-Kanak
c) Garis Panduan Pengendalian Saksi/Mangsa Kanak-Kanak Bagi Kes Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak
d) Garis Panduan Dalam Memberikan Perlindungan Dan Sokongan Kepada Kanak-Kanak Yang Menjadi Mangsa Jenayah Seksual

3.​ SOP Khas yang bakal dirangka ini akan menepati kehendak dan keperluan saksi kanak-kanak serta selaras dengan amalan terbaik antarabangsa. Antara ahli jawatankuasa ini ialah, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP), Pejabat Peguam Negara, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Jabatan Bantuan Guaman, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Peguam, ahli akademik dan NGO-NGO berkaitan.

4.​ Pembentukan SOP Khas ini perlu dilihat sebagai satu langkah positif Kerajaan dalam usaha membanteras jenayah seksual terhadap kanak-kanak. SOP Khas ini akan memastikan kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak dapat diselesaikan dengan lebih teratur dan efisien.