Puteri UMNO Mesti Juarai Isu Wanita Melayu Muda

KUALA LUMPUR, 10 Okt – Bekas Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman berkata, pergerakan Puteri UMNO Malaysia perlu terus memperjuangkan isu-isu wanita muda di negara ini agar pergerakan itu terus kekal relevan dan dekat di hati rakyat, khususnya golongan wanita muda di negara ini.

Jelasnya, perjuangan isu-isu besar yang melingkari golongan wanita muda di negara ini mesti menjadi asas kepada perjuangan pergerakan Puteri UMNO hari ini dan pada masa akan datang.

“Soal-soal seperti isu kerjaya, isu kos sara hidup, isu keluarga, isu anak-anak perlu menjadi fokus dalam perjuangan Puteri untuk terus dekat di hati rakyat khususnya golongan wanita muda di negara ini.

“Isu-isu seperti itu jika secara berterusan menjadi asas kepada perjuangan Puteri, insyaAllah saya yakin Puteri UMNO akan terus kekal relevan di hati rakyat,” ujarnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Tambah beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, penambahan ahli Puteri UMNO hari ini sejak ditubuhkan secara tidak langsung telah membuktikan bahawa  perjuangan Puteri UMNO untuk golongan wanita di negara ini semakin diterima rakyat.

“Sejarah awal penubuhan puteri UMNO ini bermula apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat. Ketika itu, ada sebahagian di antara golongan wanita muda di negara ini mula tidak mesra UMNO kerana isu tersebut.

“Jadi dalam usaha untuk mendekati golongan wanita muda ini, maka pemimpin UMNO bersetuju untuk menubuhkan satu lagi sayap, iaitu Sayap Pergerakan Puteri UMNO yang menumpukan fokus terhadap golongan wanita muda ini dan mengembalikan kekuatan wanita Melayu muda di dalam UMNO,” jelasnya.

Seterusnya Azalina berkata, Puteri sebagai satu wadah perjuangan wanita Melayu muda di negara ini perlu dilihat mempunyai kelebihan dalam mengangkat martabat wanita Melayu muda ke arah dan tahap yang lebih tinggi.

“Kita dapat lihat di dalam Puteri UMNO hari ini terdapat ramai golongan wanita Melayu muda yang profesional serta mendapat pendidikan yang tinggi. Inilah yang kita mahukan di mana golongan wanita Melayu muda profesional ini memainkan peranan untuk membina dan mempertingkatkan martabat golongan wanita Melayu muda di negara ini. Perjuangan ini harus diteruskan.

“Jangan kita berjuang di dalam politik kerana pangkat dan jawatan. Kita sedar, bukan semua ahli Puteri yang berjuang di dalam pergerakan ini dapat jadi ahli parlimen atau menteri. Kita sedar akan perkara itu. Sebab itu apa yang penting ialah, jangan tanya apa yang kita dapat melalui perjuangan ini tetapi tanya diri kita sendiri apa yang kita mampu berikan kepada agama, bangsa dan negara kita.

“Sebab itu saya tegaskan bahawa perjuangan di dalam Puteri ini merupakan satu fardhu kifayah. Kita harus sedar, bahawa perjuangan Puteri ini akan memberikan kekuatan kepada UMNO sekaligus kepada agama dan juga bangsa kita,” akhiri beliau. – MediaUMNO