KENYATAAN MEDIA : JAWATANKUASA KAJI PINDAAN LPA SECARA HOLISIK DAN KOMPREHENSIF

 

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Perunding Khas berhubung cadangan untuk menyediakan satu Rangka Tindakan (Blueprint) yang holistik bagi profesion undang-undang di Malaysia telah mengadakan beberapa siri mesyuarat dan pada hari ini Perbincangan Dalam Kumpulan (Focus Group Discussion) telah diadakan di Kuala Lumpur Regional Centre for Arbitration (KLRCA). Isu-isu yang dibangkitkan sepanjang proses perundingan ini memainkan peranan penting dalam menentukan masa depan profession perundangan di Malaysia termasuklah pindaan kepada Akta Profession Undang-Undang (LPA).

  1.        Jawatankuasa ini juga bertindak untuk mengkaji isu-isu berkaitan profession undang-undang secara holistik dan komprehensif dengan memberi fokus kepada beberapa aspek, antaranya (i) isu yang berkaitan dengan pendidikan undang-undang (ii) improvisasi Pendidikan undang-undang di Malaysia dan (iii) isu berkaitan dengan pengamal undang-undang. Pengkhususan ini dibuat bagi memastikan jawatankuasa ini lebih inklusif dan mendapat pandangan dalam pelbagai aspek.
  2.        Kesemua hasil perbincangan akan dikumpulkan dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Perunding Khas terlebih dahulu sebelum dimuat naik bagi memberi ruang kepada orang awam khususnya pengamal undang-undang untuk turut sama memberi input dan pandangan secara dalam talian (public consultation).
  3. Jawatankuasa Perunding Khas ini terdiri daripada wakil Jabatan Peguam Negara, Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang,  Jabatan Bantuan Guaman, Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, KLRCA, Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Persatuan Undang-Undang Sabah, Persatuan Peguambela Sarawak, Fakulti Undang-Undang Universiti Tempatan dan lain-lain. Manakala, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) telah dipertanggungjawabkan sebagai Sekretariat untuk Jawatankuasa Khas ini.

Dato’ Sri Azalina Othman Said

Menteri di Jabatan Perdana Menteri

24 Oktober 2017