Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak

KUALA LUMPUR – Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak akan diperluaskan secara berperingkat di seluruh negeri di Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Sri Azalina Othman Said berkata, sebagai permulaan ia akan dilaksanakan di negeri Sarawak, Selangor dan Johor berdasarkan statistik bilangan kes yang banyak.

Menurutnya, perluasan ini selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri pada 27 September lalu.

“Untuk makluman, Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak yang pertama di negara dan Asia Tenggara telah mula beroperasi pada 22 Jun lalu di Putrajaya yang bertujuan bagi mendengar dan membicarakan kes-kes kesalahan yang diperuntukkan dalam Akta 792 dan kesalahan seksual di bawah undang-undang lain yang melibatkan mangsa kanak-kanak.

“Pada peringkat permulaan, mahkamah yang ditubuhkan di Putrajaya ini untuk mendengar dan memutuskan kes-kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak dalam daerah Shah Alam, Petaling Jaya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan P Kasthuriraani (DAP-Batu Kawan).

Katanya, mahkamah ini dilengkapi dengan sistem Court Recording Transcription (CRT), sistem audio visual dan bilik saksi kanak-kanak serta bilik menunggu saksi kanak-kanak bagi membantu prosiding perbicaraan di mahkamah khas tersebut.

“Sejak mula beroperasi pada 22 Jun sehingga 8 September lalu, sebanyak 293 kes telah didaftarkan dan daripada jumlah itu, sebanyak 248 kes iaitu 84 peratus telah dilupuskan.

“Adanya Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak ini, pihak pendakwaan dan pihak peguam dapat bekerjasama untuk memastikan kes kesalahan ini dijalankan tanpa penangguhan,” katanya.

Mengulas lanjut, Azalina memberitahu, kesalahan seksual kebanyakan dilakukan oleh orang yang dikenali oleh kanak-kanak sendiri yang terdiri daripada anggota keluarga dan orang yang mempunyai hubungan rapat dengan mangsa (kanak-kanak).

“Perincian mengenai mangsa dan pemangsa bagi kes antara 22 Jun hingga 8 September dari segi hubungan adalah bapa mangsa (1 kes), bapa tiri (3 kes) dan orang luar (10 kes) yang mana membabitkan kaum Melayu (3 kes), Cina (3 kes), India (3 kes) dan warga asing sebanyak lima kes,” katanya.