Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-kanak daftar 293 kes

Sebanyak 293 kes telah didaftarkan di Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak sejak penubuhannya pada 22 Jun lalu sehingga kini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata daripada jumlah itu, sebanyak 248 atau 84 peratus kes telah diselesaikan dalam tempoh tiga bulan.

Beliau berkata mahkamah berkenaan dilengkapi dengan sistem Transkripsi Rakaman Mahkamah (CRT), Sistem Audio Visual dan bilik saksi kanak-kanak yang membantu mempercepatkan prosiding mahkamah.

“Prasarana khusus ini amat penting demi membantu prosiding perbicaraan di mahkamah khas tersebut.

Kemudahan yang disediakan ini dapat memastikan perbicaraan dan pendengaran kes dijalankan dengan cepat dan berkesan,” katanya ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Kasthuri Patto (DAP-Batu Kawan) berhubung bilangan kes yang telah dibawa ke Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-kanak.

Azalina berkata program latihan perundangan turut dilaksanakan oleh Jabatan Peguam Negara, Mahkamah dan Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan secara berterusan kepada pegawai perundangan dan kehakiman yang terlibat dengan kes jenayah seksual.

“Mereka akan dilatih oleh tenaga pengajar dari kalangan pegawai-pegawai kanan dan pegawai-pegawai pakar dari pelbagai bidang yang berkaitan,” katanya.

Namun, katanya, di bawah Seksyen 15 Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) memperuntukkan sekatan ke atas apa-apa laporan berita atau penyiaran yang membolehkan mana-mana kanak-kanak terlibat dalam sesuatu kes dikenal pasti.