Isu pendidikan dan pengamal undang-undang antara fokus jawatankuasa perunding khas

KUALA LUMPUR: Isu-isu berkaitan pendidikan undang-undang, pengamal undang-undang dan improvisasi pendidikan undang-undang di Malaysia adalah antara yang difokuskan Jawatankuasa Perunding Khas dalam menentukan masa depan profesion perundangan negara, termasuk pindaan berkaitan Akta Profesion Undang-undang (LPA).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pengkhususan itu dibuat bagi memastikan jawatankuasa tersebut lebih inklusif dan mendapat pandangan dalam pelbagai aspek.

Beliau berkata Jawatankuasa Perunding Khas berhubung cadangan untuk menyediakan satu Rangka Tindakan yang holistik bagi profesion undang-undang di Malaysia itu telah mengadakan beberapa siri mesyuarat selain perbincangan dalam kumpulan.

 

“Perbincangan dalam kumpulan itu diadakan hari ini di Pusat Timbang Tara Serantau Kuala Lumpur (KLRCA).

“Isu-isu yang dibangkitkan sepanjang proses perundingan ini memainkan peranan penting dalam menentukan masa depan profesion perundangan di Malaysia termasuklah pindaan kepada LPA,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Azalina berkata kesemua hasil perbincangan akan dikumpulkan dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Perunding Khas terlebih dahulu sebelum dimuat naik bagi memberi ruang kepada orang awam khususnya pengamal undang-undang untuk turut sama memberi input dan pandangan secara dalam talian.

Jawatankuasa Perunding Khas dianggotai, antara lain, wakil Jabatan Peguam Negara, Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang, Jabatan Bantuan Guaman, Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, KLRCA, Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Persatuan Undang-undang Sabah, Persatuan Peguambela Sarawak dan Fakulti Undang-undang Universiti Tempatan.

Bahagian Hal Ehwal Undang-undang telah dipertanggungjawabkan sebagai Sekretariat untuk Jawatankuasa Khas ini.

— BERNAMA