KENYATAAN MEDIA : AKTA LAMBANG DAN NAMA, AKTA ANUGERAH BERKUATKUASA HARI INI

KUALA LUMPUR – Akta Lambang dan Nama (Pindaan) 2016 dan Akta Anugerah 2016 mula berkuatkuasa hari ini (25 Oktober 2017). Kedua-dua Akta ini diyakini mampu mengekang aktiviti berhubung dengan penyalahgunaan anugerah dan darjah kebesaran yang dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja dan Yang di-Pertua Negeri.

2.​ Pindaan Akta ini juga menunjukkan komitmen kerajaan untuk memelihara institusi Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja dan Yang di-Pertua Negeri daripada dicemari oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Oleh itu, Kerajaan telah menaikkan hukuman penalti dan hukuman penjara dimasukkan untuk mencerminkan keseriusan kesalahan dan sebagai faktor pencegahan kepada masyarakat.

3.​ Diharapkan dengan kuatkuasanya Akta ini mampu menangani kes-kes penipuan yang melibatkan orang awam. Justeru itu, bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan orang awam boleh layari laman web protokol Persekutuan www.istiadat.gov.my untuk menyemak senarai daftar semua anugerah di peringkat Persekutuan dan peringkat negeri-negeri.

Dato’Sri Azalina Othman Said
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
25 Oktober 2017