Undang-undang bendung penipuan anugerah diguna pakai

KUALA LUMPUR: Akta Lambang dan Nama (Pindaan) 2016 serta Akta Anugerah 2016 yang berkuat kuasa mulai hari ini, berupaya menangani kes penipuan membabitkan orang awam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata kedua-dua akta itu berfungsi mengekang aktiviti penyalahgunaan anugerah dan darjah kebesaran dikurniakan Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja dan Yang di-Pertua Negeri.

“Pindaan akta ini juga menunjukkan komitmen kerajaan untuk memelihara institusi Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja dan Yang di-Pertua Negeri daripada dicemari pihak tidak bertanggungjawab.

“Kerajaan menaikkan hukuman penalti manakala hukuman penjara dimasukkan untuk mencerminkan keseriusan kesalahan dan sebagai faktor pencegahan kepada masyarakat.

“Bagi mengelak menjadi mangsa penipuan, orang awam boleh melayari laman web protokol persekutuan www.istiadat.gov.my untuk menyemak senarai daftar semua anugerah di peringkat Persekutuan dan negeri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.