Bajet realistik dan mesra rakyat

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman, berkata Bajet 2018 adalah realistik dan pada masa sama membela kesejahteraan rakyat.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, beliau berkata peruntukan yang dibentangkan dalam bajet berkenaan juga mesra rakyat.

Beliau berkata, ini membuktikan kerajaan konsisten dalam memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terbela serta ekonomi dan masa depan negara terus terjamin.

“Kerajaan sentiasa realistik dalam menentukan dasar ekonomi negara bagi menjamin segala komitmen dapat direalisasikan dan dizahirkan kepada rakyat.

“Kerajaan tidak seperti pembangkang yang hanya memberi angan-angan kosong untuk mengejar populariti,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengerang menyambut baik pengumuman mengenai masyarakat FELDA dan pembangunan luar bandar.

“Peruntukan yang diumumkan sangat memberikan impak kepada warga FELDA dan masyarakat luar bandar dalam memastikan tiada rakyat yang tertinggal dalam arus pembangunan.

“Selain itu, selaku menteri yang bertanggungjawab dalam Hal Ehwal Undang-Undang, saya juga berterima kasih kepada Perdana Menteri dalam memperluaskan Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-kanak dalam pembentangan bajet hari ini,” katanya.