Akta khas kekang aktiviti wang haram diperkenal

PUTRAJAYA – Kerajaan memperkenalkan beberapa langkah proaktif bagi mengelak berlakunya ketirisan berhubung pengendalian kewangan di dalam pertubuhan Non-Profit Organization (NPO).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, menyedari bahawa jumlah dana terkumpul, hasil sumbangan rakyat menerusi NPO adalah besar sehingga mencecah berbilion ringgit, kerajaan memperkenalkan dua Akta Khas sebagai langkah berjaga-jaga, bagi mengelak sebarang  aktiviti haram.

“Kewujudan Akta ini bagi memastikan NPO yang berdaftar di Malaysia tidak dijadikan sebagai medium untuk aktiviti aktiviti pengubahan wang secara haram serta membiayai keganasan,”  Katanya sempena Seminar NPO, Kebangsaan 2017, di Dewan Harmoni, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Beliau berkata, sebuah NPO yang berjaya perlu mengamalkan nilai etika yang tinggi dengan tadbir urus yang baik.

“Aspek utama yang perlu diberikan perhatian adalah berkaitan tanggungjawab Pemegang Amanah dalam menguruskan yayasan, merangkumi perkara-perkara seperti tatacara penyimpanan rekod, tatacara pengurusan kewangan dan penetapan peraturan dalaman yayasan,” katanya.

Menurutnya, pelaksanaan amalan tadbir urus terbaik merupakan infrastuktur sokongan yang penting untuk setiap yayasan terus relevan dan kekal mampan dalam melaksanakan objektif-objektif penubuhannya,” katanya.