KENYATAAN MEDIA : MP KULAI JANGAN KELIRUKAN RAKYAT

KUALA LUMPUR – Kenyataan yang dikeluarkan Ahli Parlimen Kulai bahawa tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengurangkan Penolong Pendaftar Pemilih (PPP) kepada 205 orang adalah tidak tepat. Jumlah sebenar PPP sehingga 30 September 2017 adalah sebanyak 14,342 orang.

2. Jumlah tersebut adalah termasuk PPP daripada pelbagai kategori yang meliputi PPP (Wakil Jabatan Kerajaan), PPP (Wakil Pertubuhan) dan PPP (Wakil Universiti) di seluruh negara. Bagaimanapun, jumlah yang dipetik Ahli Parlimen Kulai hanya tertumpu kepada PPP Wakil Pertubuhan sahaja. Kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Kulai kononnya pengurangan PPP ini menyebabkan kegagalan kepada pendaftaran pengundi baru boleh mengelirukan rakyat dan disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.

3. Pelbagai usaha telah dilakukan SPR untuk menarik lebih ramai warganegara yang layak untuk mendaftar sebagai pemilih. Ini termasuklah menyediakan kemudahan karavan SPR, program outreach di tempat-tempat tumpuan orang ramai seperti pusat membeli belah, pusat rekreasi, kawasan penempatan penduduk, Institusi Pengajian Tinggi dan pusat-pusat latihan berkaitan. SPR juga sentiasa terbuka menerima jemputan untuk menyediakan kaunter pendaftaran pemilih bagi penganjuran berkaitan.

 

 

Dato’ Sri Azalina Othman Said

Menteri di Jabatan Perdana Menteri

 

17 November 2017