KENYATAAN MEDIA : RANG UNDANG-UNDANG DADAH BERBAHAYA (PINDAAN) 2017 DIBENTANG DI DEWAN RAKYAT

KUALA LUMPUR –Kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang Dadah Berbahaya (Pindaan) 2017 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini. Pindaan ini termasuklah cadangan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori di bawah seksyen 39B Akta 234 supaya mahkamah diberi lebih ruang bagi menggunakan budi bicaranya dalam menentukan hukuman bagi pesalah dadah.
2. Pindaan yang dicadangkan ini selari dengan principle of sentencing yang mana Mahkamah diberi ruang budi bicara untuk menjatuhkan hukuman selain hukuman mati mandatori. Bagaimanapun, kuasa budi bicara Mahkamah hanya tertakluk untuk menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan tidak kurang lima belas kali sebatan setelah Mahkamah mengambil kira beberapa keadaan tertentu.
3. Semua pihak perlu melihat pindaan ini sebagai langkah proaktif Kerajaan bagi memastikan keadilan sewajarnya kepada mereka yang tidak sepatutnya dijatuhkan hukuman mati mandatori. Walau bagaimanapun, hukuman mati masih perlu dikekalkan untuk memberi gambaran jelas bahawa Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mereka yang mengedar dadah sehingga menjadi ancaman kepada negara dan rakyat.
DATO’ SRI AZALINA OTHMAN SAID
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri
23 November 2017