Perbincangan meja bulat teliti langkah atasi kebankrapan

KUALA LUMPUR: Jabatan Insolvensi Malaysia akan mengadakan perbincangan meja bulat dengan persatuan bank di negara ini serta pihak-pihak berkepepentingan dalam waktu terdekat bagi meneliti langkah ke hadapan untuk mengurangkan masalah kebankrapan dalam kalangan rakyat negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kerjasama itu akan membantu orang ramai mengatasi masalah keberhutangan yang serius.

“Insya-Allah pihak Jabatan Insolvensi Malaysia akan melaksanakan cadangan ini dalam masa terdekat dengan menjalin kerjasama dengan bank-bank komersial bagi membantu mereka yang menghadapi masalah keberhutangan yang serius.

 “Perbincangan bersama bank-bank komersial yang khusus adalah bagi mencari jalan tengah yang boleh dicapai untuk memudahkan proses pelepasan kebankrapan dan seterusnya mengelak masalah kebankrapan dari terus meningkat di Malaysia,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab Sim Tong Him (Bebas-Kota Melaka) yang meminta jumlah mereka yang muflis sehingga bulan Ogos tahun ini mengikut setiap negeri dan terdapat berapa orang muflis telah dilepaskan sejak Akta Kebankrapan 1967 (Pindaan) diluluskan adakah pihak peminjam iaitu bank-bank komersial yang masih enggan bekerjasama dengan Kerajaan dan apakah kriteria-kriteria serta syarat-syarat untuk orang yang muflis boleh dilepaskan.

Tambah Azalina lagi, gesaan untuk melaksanakan perbincangan meja bulat itu dibuat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semasa Forum Pengguna Ke-7 yang dianjurkan oleh Persatuan Pegguna Islam Malaysia pada 4 November lalu.

Kata beliau, mengikut rekod, jumlah kes kebankrapan sehingga Ogos 2017 adalah sebanyak 296,712 kes yang mana daripada jumlah itu Selangor mencatatkan bilangan kes tertinggi sebanyak 72,114 kes (24.30%) diikuti Johor dengan 50,255 kes (16.94%) dan Wilayah Persekutuan dengan 46,377 kes (15.63%).

Manakala Perlis pula ujar beliau mencatatkan jumlah kes kebankrapan terendah dengan 1,037 kes (0.35%).