Jabatan Insolvensi cari penyelesaian dengan bank kekang kebankrapan

28 NOV: Jabatan Insolvensi Malaysia bakal mengadakan perbincangan dengan persatuan bank dan pihak-pihak berkaitan dalam langkah mengurangkan masalah kebankrapan di kalangan rakyat Malaysia.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perbincangan bersama bank-bank komersial yang khusus adalah bagi mencari jalan tengah yang boleh dicapai untuk memudahkan proses pelepasan kebankrapan, seterusnya mengelakkan masalah kebankrapan daripada terus meningkat.

“Insyallah pihak Jabatan Insolvensi Malaysia akan melaksanakan cadangan ini dalam masa yang terdekat dengan menjalin usaha sama dengan bank-bank komersial dalam membantu mereka yang menghadapi masalah keberhutangan yang serius,” katanya. Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Bebas Kota Melaka, Sim Tong Him pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, Selasa.

Jelas Azalina lagi, jumlah kes kebankrapan sehingga Ogos 2017 adalah sebanyak 296,712 kes.

Katanya, daripada jumlah tersebut, bilangan kes tertinggi dicatatkan di negeri Selangor dengan 72,114 kes manakala yang terendah adalah di negeri Perlis dengan 1,037 kes.

Tambah Azalina lagi, Jabatan Insolvensi Malaysia masih di dalam proses pengumpulan data dan hebahan kepada masyarakat terutamanya golongan bankrap yang disahkan kurang upaya, mengalami penyakit kronik dan penjamin sosial serta waris kepada bankrap yang telah meninggal dunia untuk memohon pelepasan kebankrapan di bawah seksyen 33A.

“Pindaan kepada Akta Insolvensi 1967, Akta 360 baru sahaja berkuat kuasa pada 6 Oktober 2017 yang lalu.

“Walau bagaimanapun, golongan yang dibankrapkan selepas berkuat kuasa Akta Insolvensi 1967 Akta 360 ini disarankan agar memfailkan penyata hal ehwal dan menetapkan sasaran sumbangan bagi membolehkan pelepasan automatik di bawah seksyen 33C,” jelas Ahli Parlimen Pengerang itu.