Hampir 300,000 rakyat Malaysia bankrap

SERAMAI 296,712 rakyat Malaysia mengalami kebankrapan sehingga Ogos tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Azalina Othman Said.

Azalina berkata, kes tertinggi dicatatkan di Selangor dengan 72,114 kes (24.30 peratus) manakala yang terendah adalah di Perlis dengan 1,037 kes (0.35 peratus).

Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, Johor pula di kedudukan kedua dengan 50,255 kes (16.94 peratus), Wilayah Persekutuan dengan 46,377 kes (15.63 peratus) dan Pulau Pinang dengan 22,136 kes (7.46 peratus).

“Negeri-negeri lain adalah Perak 19,733 kes (6.65 peratus), Sarawak 16,499 kes (5.56 peratus), Kedah 14,343 kes (4.83 peratus), Sabah 12,533 kes (4.23 peratus), Pahang 10,415 kes (3.51 peratus), Melaka 9,316 kes (3.14 peratus), Negeri Sembilan 8,425 kes (2.84 peratus), Kelantan 8,187 kes (2.76 peratus) dan Terengganu 5,322 kes (1.80 peratus),” kata Azalina di Dewan Rakyat hari ini menjawab soalan Sim Tong Him (DAP-Kota Melaka).

Azalina berkata, Jabatan Insolvensi Malaysia masih di dalam proses pengumpulan data dan hebahan kepada masyarakat terutamanya golongan bankrap yang disahkan kurang upaya, mengalami penyakit kronik dan penjamin sosial serta waris kepada bankrap yang sudah meninggal dunia untuk memohon pelepasan di bawah seksyen 33A.

“Bagaimanapun, golongan yang dibankrapkan selepas berkuat kuasa Akta Insolvensi 1967 (Akta 360) ini disarankan agar memfailkan Penyata Hal Ehwal dan menetapkan Sasaran Sumbangan bagi membolehkan pelepasan automatik di bawah seksyen 33C,” katanya.

Menurut Azalina, pihak-pihak terlibat seperti bank-bank komersial sentiasa memberikan kerjasama sewajarnya kepada kerajaan untuk memastikan keadilan dan pentadbiran pengurusan kebankrapan berjalan dengan lancar.