KENYATAAN MEDIA : CADANGAN PINDAAN SEKYEN 39B DIGUBAL DENGAN TELITI SETELAH MENGAMBIL KIRA PANDANGAN PELBAGAI PIHAK

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan melakukan satu pindaan diperingkat jawatankuasa terhadap Seksyen 39B Akta 234 untuk memberikan kuasa budi bicara sepenuhnya kepada Mahkamah. Notis pemberitahuan kepada Setiausaha Dewan berkaitan pindaan ini telah dihantar untuk memaklumkan pindaan kepada Rang Undang-Undang Dadah Berbahaya (Pindaan) 2017.

2. Cadangan pindaan ini adalah dengan mengambil kira pandangan dan cadangan pihak-pihak berkepentingan yang telah di kemukakan kepada Kerajaan. Pindaan ini menunjukkan keterbukaan Kerajaan khususnya YAB Perdana Menteri yang sentiasa mendengar pandangan pelbagai pihak untuk memastikan setiap keputusan dasar dibuat secara inklusif.

3. Pindaan di peringkat jawatankuasa ini pada Seksyen 39B (2A) (d) Rang Undang-Undang Dadah Berbahaya (Pindaan) 2017 akan memberi kuasa kepada Mahkamah untuk menggunakan budi bicara bagi menentukan orang yang disabitkan telah membantu agensi penguatkuasaaan dalam mengendalakan aktiviti pengedaran dadah di dalam atau di luar Malaysia, dan bukannya perakuan bertulis oleh Pendakwa Raya seperti mana yang terkandung di dalam Rang Undang-Undang asal. Cadangan pindaan ini digubal dengan teliti dengan mengambil kira niat utama Kerajaan untuk memberikan mesej pencegahan yang serius dan meningkatkan keberkesanan operasi bagi agensi penguatkuasaan dalam membanteras masalah pengedaran dadah di Negara ini. Rang Undang-Undang ini dijangka akan melalui bacaan kali kedua di Dewan Rakyat pada esok hari.

DATO’ SRI AZALINA OTHMAN SAID
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri
29 November 2017