Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya Dipinda Demi Kepentingan Umum

KUALA LUMPUR, 30 Nov – Pindaan terhadap Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dibuat kerana kerajaan melihat kepada maslahat umum atau kepentingan rakyat Malaysia secara keseluruhan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merasakan sudah tiba masanya inisiatif sedemikian diambil dalam agenda kerajaan memerangi dadah yang dianggap musuh utama negara.

“Dah 34 tahun kita tunggu untuk tukar hukuman mandatori kepada budi bicara… kerajaan buat pindaan ini kerana kerajaan nak lihat sama ada dengan adanya kuasa budi bicara mahkamah, perang dadah itu berkurangan.

“Kita melihat kepada maslahat umum, kita melihat kepada rakyat Malaysia yang jumlahnya 30 juta lebih,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang(RUU) Dadah Berbahaya (Pindaan) 2017 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

RUU berkenaan yang kemudian diluluskan dengan undian suara majoriti adalah bagi memansuhkan hukuman mati mandatori di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 bertujuan memberi lebih ruang kepada mahkamah untuk menggunakan budi bicara dalam menentukan hukuman lebih sesuai terhadap pesalah dadah.

Azalina menjelaskan pindaan berkenaan tidak bermaksud kerajaan tidak prihatin dan merancang menghukum kesemua pesalah yang dituduh di bawah seksyen 39B akta berkenaan.

Malah, beliau berkata pindaan itu juga tidak bermaksud kerajaan mengikat tangan hakim dengan hanya memberi mereka dua pilihan hukuman sama ada hukuman gantung atau penjara seumur hidup.

“Kita tak ikat tangan hakim, sebab itu kuasa budi bicara hakim diwujudkan…Seksyen 39B ini bila dituduh ni memang seketat-ketatnya… maknanya ‘beyond any reasonable doubt’ (melampaui keraguan munasabah), bila dituduh tak ketat tuduhan boleh dilepaskan.

“Walaupun (yang) dituduh boleh terlepas tuduhan, bila disabit boleh dibuat rayuan, kalah rayuan boleh pergi lembaga rayuan, maknanya tak semestinya bila disabit hukuman, dia terus sama ada mati atau masuk penjara seumur hidup,” katanya.

Terdahulu sewaktu membentangkan RUU itu untuk bacaan kali kedua, Azalina berkata walaupun pelbagai langkah drastik diambil kerajaan, statistik Polis Diraja Malaysia tetap menunjukkan jumlah kes yang tinggi berkaitan dadah iaitu bagi tempoh Januari 2014 hingga Oktober tahun ini, seramai 702,319 individu ditahan kerana mengedar dan memiliki dadah.

Menurutnya bagi tempoh sama, 21,371 ditangkap di bawah Seksyen 39B dan 13,036 kertas siasatan telah dibuka dengan 10,878 kes telah dituduh di Mahkamah.

“Lebih membimbangkan ialahsebanyak 1,743 tangkapan melibatkan penuntut sekolah dan sebanyak 1,953tangkapan melibatkan penuntut institusi pengajian tinggi,” katanya.