Laporan RCI forex catat kerugian sebenar BNM

KUALA LUMPUR – Llaporan yang dikeluarkan Jawatankuasa Siasatan Diraja (RCI) terhadap skandal urus niaga mata wang asing (forex) Bank Negara Malaysia (BNM) merupakan jumlah kerugian sebenar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, ia bukan sekadar laporan atas kertas semata-mata.

Sebelum itu, beliau banyak membaca komen daripada pembangkang yang membezakan laporan yang dikeluarkan RCI dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Laporan RCI adalah mengenai kerugian sebenar yang ditanggung kerajaan. Bukan kerugian atas kertas. Saya banyak komen daripada pembangkang dimana tidak adil untuk bezakan RCI Forex dengan 1MDB,” katanya hari ini.

Penghujung bulan lalu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, keputusan tidak membincangkan atau membahaskan laporan RCI tentang kerugian yang dialami BNM akibat dagangan mata wang asing pada 1990-an di Parlimen menunjukkan ia satu lagi ‘langkah politik’.

Dalam pada itu, Azalina berkata, pihak berkuasa sepatutnya diberikan kebebasan untuk menjalankan siasatan bagi menunjukkan perkara sebenar yang berlaku pada ketika itu.

“Bagi saya kalau kita tengok, biarlah polis menjalankan siasatan dan saya harap siasatan itu menunjukkan apa sebenarnya berlaku kepada negara kita dalam aspek kehilangan kewangan yang begitu besar,” katanya lagi.

Laporan RCI mengenai kerugian forex di zaman pemerintahan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu menyatakan BNM mengalami kerugian sehingga RM30 bilion.

Ia dibentangkan di Dewan Rakyat pada 30 November lalu.

Laporan setebal lebih 400 muka surat itu sudah diagihkan kepada semua 222 Ahli Parlimen.