KENYATAAN MEDIA : DEWAN NEGARA DITANGGUH, LULUS 45 RUU BAGI MESYUARAT PENGGAL KELIMA PARLIMEN KE-13 (2017)

KUALA LUMPUR- Sidang Dewan Negara ditangguhkan semalam dengan meluluskan 13 Rang Undang-Undang (RUU) setelah bersidang selama 10 hari menjadikan keseluruhan Rang Undang-Undang yang diluluskan adalah sebanyak 45 Rang Undang-Undang bagi Mesyuarat Penggal Kelima Parlimen Ke-13 (2017).

2.​ Berikut merupakan 13 Rang Undang-Undang yang diluluskan Dewan Negara pada Mesyuarat Ketiga kali ini, Rang Undang-Undang Perbekalan 2018, Rang Undang-Undang Kewangan (No. 2) 2017, Rang Undang-undang Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (Pindaan) (No. 2) 2017, Rang Undang-undang Cukai Pendapatan (Pindaan) 2017, Rang Undang-undang Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pindaan) 2017, Rang Undang-undang Perbadanan Harta Intelek Malaysia (Pindaan) 2017, Rang Undang-Undang Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Pindaan) 2017, Rang Undang-undang Sistem Insurans Pekerjaan 2017, Rang Undang-Undang Kemudahan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Warga Emas Swasta 2017, Rang Undang-Undang Pusat Jagaan (Pindaan) 2017, Rang Undang-Undang Industri Pelancongan (Pindaan) 2017, Rang Undang-Undang Dadah Berbahaya (Pindaan) 2017 dan Rang Undang-Undang Timbang Tara (Pindaan) 2017. Rang Undang-Undang ini akan dikemukakan kepada Yang Di-Pertuan Agong sebelum diwartakan.

3.​ Antara Rang Undang-Undang yang menjadi keutamaan ialah Rang Undang-Undang Perbekalan 2018. Manakala, Rang Undang-Undang lain yang menjadi perhatian rakyat bagi sepanjang tahun ini ialah Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017, Rang Undang-Undang Dadah Berbahaya (Pindaan) 2017, dan Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan 2017. Sesungguhnya, kesemua Rang Undang-Undang yang digubal oleh Kerajaan adalah bagi kesejahteraan rakyat dan negara.

4 . Malahan, tindakan Kerajaan untuk meminda Rang Undang-Undang Dadah Berbahaya Pindaan (2017) turut mendapat pujian Delegasi Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia dan wakil negara anggota EU. Saya ucapkan terima kasih kepada semua Ahli-Ahli Dewan Negara dan Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang mengambil bahagian dalam perbahasan dan menyatakan komitmen sepanjang Mesyuarat Penggal Kelima Parlimen Ke-13 dalam meluluskan 45 Rang Undang-Undang ini.
DATO’ SRI AZALINA OTHMAN SAID
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
20 Disember 2017