KENYATAAN MEDIA : PEMBANGKANG TIDAK BERPRINSIP, GUNAKANN TUN M UNTUK MEMPERDAYAKAN RAKYAT

KUALA LUMPUR – Alhamdullilah, kita baru sahaja melangkah ke tahun baharu 2018 dan Malaysia semakin hampir untuk mencapai status negara maju. Kita berada di landasan yang betul dibawah pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak. YAB Perdana Menteri juga telah meletakkan halatuju nasional yang jelas dalam menuju 2050 bagi meletakkan Malaysia sebagai 20 negara terbaik di dunia.

2. Pada masa yang sama, pembangkang pula tiada hala tuju yang jelas dan  sering kali mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan rakyat. Baru-baru ini  Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad ada menyebut kononnya untuk mengembalikan kebebasan badan kehakiman, saya seolah tidak percaya kenyataan itu keluar daripada mulut mantan Perdana Menteri itu. Ketika krisis Perlembagaan 1988  berlaku saya berada di tahun akhir pengajian Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, berita pemecatan Tun Salleh Abas sebagai Ketua Hakim Negara dan Hakim-Hakim Mahkamah Agung umpama hari yang gelap kepada badan kehakiman negara. Peristiwa itu telah tercatat dalam buku May Day For Justiceyang ditulis oleh  K.Das dan Tun Salleh Abas. Memetik kata-kata bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dalam buku tersebut, “Kalau anda musnahkan badan kehakiman, anda memusnahkan demokrasi dan kalau anda memusnahkan demokrasi, anda tergolong dalam pemerintahan diktator.” Tun Salleh Abas turut menzahirkan harapan bahawa krisis kehakiman 1988 ini akan menjadi peringatan kepada generasi sekarang dan akan datang mengenai keperluan badan kehakiman yang kuat dan bebas.

3 . Malah pada tahun 1989, saya juga masih ingat bahawa, Lim Kit Siang sendiri menggesa supaya Ahli-Ahli Parlimen membentuk Suruhanjaya Siasatan bagi menyiasat pemecatan Bekas Ketua Hakim Negara itu. Tetapi hari ini, Tun Mahathir sanggup bersumpah bahawa beliau tidak bertanggungjawab dalam kes pemecatan tersebut. Kenapa beliau mengambil masa begitu lama untuk membersihkan namanya? Kes itu telah berlaku 30 tahun dahulu. Adakah beliau juga akan bersumpah yang beliau tidak terlibat dalam Operasi Lalang 1987 dan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sehingga menyebabkan hampir 100 ahli politik ditahan.

4. Saya tertanya bagaimana Pembangkang yang selama ini menyatakan bahawa mereka adalah mangsa pemerintahan kuku besi Tun Mahathir, dapat duduk semeja malah melantik beliau sebagai Ketua mereka. Adakah semua ini lakonan untuk terus memperdayakan rakyat atau pembangkang memang tidak berprinsip? Mungkin pembangkang boleh berpura-pura melupakan apa yang pernah Tun Mahathir lakukan, namun saya pasti ini bukan realitinya terutama kepada bekas-bekas Hakim-hakim yang terlibat dan ahli-ahli keluarga mangsa tahanan ISA. Segala kenyataan dan kata-kata yang diungkapkan oleh Tun Mahathir pada hari ini termasuk ucapannya ketika Perhimpunan Agung PPBM boleh disifatkan sebagai retorik politik semata-mata hanya untuk kembali berkuasa atas kepentingan peribadi.

5. Sebelum ini, terdapat pelbagai penulisan dan dakwaan mengenai skandal-skandal ketika zaman pemerintahan Tun Mahathir. Barry Wain juga ada menulis sebuah buku bertajuk  “Malaysian Meverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times”. Namun, terpulang kepada rakyat untuk menilai sendiri dakwaan tersebut. Bagaimanapun, saya percaya rakyat boleh melihat bagaimana pentadbiran hari ini jauh lebih baik dan demokrasi lebih subur berbanding zaman pemerintahan Tun Mahathir. YAB Perdana Menteri pada hari ini menghormati konsep kebebasan badan kehakiman dan melaksanakan pelbagai transformasi perundangan secara progresif untuk kepentingan rakyat. Pendekatan yang digunakan oleh YAB Perdana Menteri juga berbeza dan berpegang kepada prinsip kesederhanaan dalam melaksanakan segala dasar serta polisi kerajaan demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

DATO’ SRI AZALINA OTHMAN SAID

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri

3 Januari 2018