KENYATAAN MEDIA : PARTI KITAR SEMULA HANYA AKAN TINGGAL HARAPAN

 

KUALA LUMPUR – Tindakan Pakatan Harapan (PH) menamakan semula Tun Dr Mahathir Mohd sebagai calon Perdana Menteri dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri membuktikan PH ketandusan calon berwibawa untuk diangkat sebagai pemimpin negara. Malah, tindakan PH ini juga tidak ubah seperti parti kitar semula bekas UMNO yang terdesak untuk mendapatkan kuasa.

2 . Sejak dari awal penyatuan PH lagi sudah menunjukkan betapa hipokritnya pembangkang sehingga sanggup melupakan segala tuduhan yang pernah dilontarkan selama ini terhadap mantan Perdana Menteri itu. Sebelum ini, pembangkang acap kali mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat kekayaan luar biasa anak-anak Tun Mahathir, namun hari ini mereka pula melantik Tun Mahathir sebagai ketua mereka.

3 . Pembangkang sebelum ini juga pernah mencadangkan untuk menghadkan kerusi Perdana Menteri hanya dua penggal, namun sekali lagi mereka buat u-turn apabila menamakan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri untuk penggal yang ke-enam. Saya juga tertanya berapa lamakah Wan Azizah akan kekal sebagai TPM? Berdasarkan rekod sebelum ini Tun Mahathir adalah orang yang bertanggungjawab memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai TPM.

4 . Sikap tidak berprinsip pembangkang ini boleh menyebabkan rakyat hilang keyakinan yang PH mampu membela nasib mereka dan PH hanya akan tinggal harapan. Apabila kalah nanti jangan pula menuding jari kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan sebagainya. Justeru, Barisan Nasional adalah parti terbaik untuk rakyat dan mempunyai hala tuju yang jelas dalam memimpin negara ke arah yang lebih cemerlang dan progresif.

DATO’ SRI AZALINA OTHMAN SAID
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri
8 Januari 2018