Orang muda takkan tertarik dengan calon kitar semula

8 JAN: Calon Perdana Menteri veteran oleh PH tidak mampu untuk menarik pengundi muda, kata Datuk Seri Azalina Othman Said.

Jelasnya, ia adalah suatu langkah terdesak kerana mengitar semula bekas pemimpin UMNO sekaligus mengenepikan pemimpin muda yang lebih berkemampuan.

Tambah Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu lagi, tindakan itu juga adalah kerana mereka tidak yakin dengan pemimpin muda mampu sehingga terpaksa mencalonkan Tun Mahathir Mohamad yang berumur lebih 90 tahun sebagai calon Perdana Menteri.

“Saya kata banyak kali bahawa PH parti kitar semula. Sebab kitar semula bekas pemimpin UMNO.

“Jadi saya kesian pada PH, sebab dia ada banyak pemimpin yang kemungkinan ada kebolehan. Saya lihat dalam Parlimen ramai muka-muka muda yang boleh bahas saya tidak tahu kenapa tidak ketengahkan mereka,” kata pada semasa sidang media selepas lawatan rasmi ke Amanah Raya, Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai respon pembangkang semalam mengesahkan Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri mereka dalam perhimpunan Konvensyen PH besar-besaran.

Bagaimanapun, selepas pengumuman tersebut kritikan daripada pemimpin akar umbi PH semakin kuat yang menolak pencalonan Tun Mahathir.

Oleh itu, Azalina menggesa supaya rakyat berhati-hati dan tidak terpedaya dengan helah pembangkang yang tidak ikhlas dalam memperjuangkan nasib rakyat sehingga sanggup memilih calon kitar semula sebagai pemimpin mereka.

“Mereka nak ketengahkan calon kitar semula mungkin kerana tidak yakin dengan pemimpin sedia ada.

“Kedua saya lihat keikhlasan sebab itu saya minta rakyat lebih berhati-hati, kalau pakai pemimpin kitar semula, maknanya PH ini tidak ada harapan,” ujarnya lagi.

Langkah diambil pembangkang berbeza dengan pendekatan kerajaan yang lebih mementingkan masa depan anak muda, sebagai contoh dengan memperkenalkan Transformasi Nasional 2050 (TN50) untuk memberi peluang kepada generasi anak muda memimpin negara kelak, kata Azalina.

“Bagi saya generasi muda lihat pada masa depan.

“Saya tak lihat generasi muda tertarik dengan pemimpin kitar semula dan polisi mereka,” ujarnya.