Kitar semula pemimpin bukti PH terdesak mahu kuasa

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said menyifatkan tindakan Pakatan Harapan (PH) menamakan semula Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri tidak ubah seperti parti kitar semula bekas kepimpinan UMNO yang terdesak mendapatkan kuasa.

Beliau berkata, tindakan mereka menamakan semula Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri membuktikan PH ketandusan calon berwibawa untuk diangkat sebagai pemimpin negara.

“Sejak awal penyatuan PH lagi sudah menunjukkan hipokritnya pembangkang sehingga sanggup melupakan segala tuduhan pernah dilontarkan selama ini terhadap mantan Perdana Menteri itu.

“Sebelum ini, pembangkang sering mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kekayaan luar biasa anak Dr Mahathir, namun hari ini mereka melantik beliau sebagai ketua.

“Pembangkang sebelum ini juga pernah mencadangkan mengehadkan kerusi Perdana Menteri hanya dua penggal, namun sekali lagi mereka buat pusingan u apabila menamakan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri untuk penggal keenam,” katanya selepas Majlis Lawatan Rasmi Ke Amanah Raya Berhad, di sini.

Yang turut hadir, Pengerusi Amanah Raya Berhad (ARB), Tan Sri Sabbruddin Chik dan Pengarah Urusan Kumpulan ARB, Adenan Md Yusof.

Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengulas pengumuman PH menamakan Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri jika parti itu memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Beliau berkata, ia berbeza dengan Barisan Nasional (BN) yang menekankan muka baharu untuk kepimpinan akan datang yang dibuktikan dengan pelaksanaan program Transformasi Nasional 2050 (TN50).

“Program TN50 membuktikan kerajaan BN serius menekankan muka baharu untuk kepimpinan masa depan. Saya melihat di Parlimen ramai anak muda boleh berbahas dengan baik pelbagai isu tetapi saya tidak tahu kenapa PH tidak ketengahkan mereka,” katanya.