SIARAN MEDIA : RUNDINGAN MEJA BULAT CARI TITIK PERSEFAHAMAN ANTARA MdI DAN BANK DI MALAYSIA

PUTRAJAYA – Pada hari ini satu Perbincangan Meja Bulat dengan Pihak Bank Negara Malaysia, Agensi Kaunseling  dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia berkenaan isu-isu berkaitan kebankrapan telah diadakan di Dewan Harmoni, Bangunan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU). Perbincangan itu telah di pengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Dato’ Sri Azalina Othman Said.

2 .  ​ Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Dato’ Sri Azalina Othman Said, rundingan meja bulat ini bertujuan memberi gambaran yang lebih jelas kepada pihak bank mengenai pindaan-pindaan yang telah dibuat Kerajaan di dalam Akta Insolvensi 1967. Beliau berkata, rundingan meja bulat ini juga dibuat bagi membincangkan isu-isu teknikal yang dihadapi kedua-dua belah pihak untuk mencari titik persefahaman dalam menyelesaikan masalah kebankrapan di Negara ini.

3.​Antara isu yang dibincangkan adalah mekanisme penyelamat melalui kaedah Perkiraan Sukarela (VA), kenaikan had minimum kebankrapan daripada RM30,000 kepada RM50,000 dan kes-kes kebankrapan yang telah ditadbir MdI melebihi 15 tahun. Selain itu, YB Dato’ Sri Azalina Othman Said turut menyatakan hasrat Kerajaan untuk melepaskan sebanyak 10,000 bankrap setahun bagi tempoh lima tahun. Kerajaan juga berharap agar pihak bank meneliti dan membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum bantahan terhadap pelepasan dikemukakan. Selain itu, kerjasama yang baik daripada pihak bank diharapkan untuk membenarkan mekanisme penyelamat digunakan untuk memberi peluang kepada penghutang menyusun semula hutangnya bagi mengelak sebarang prosiding kebankrapan diambil terhadap mereka.

4.​Turut sama, Ketua Pengarah  BHEUU, Datuk Jalil Marzuki, Timbalan Ketua Pengarah MdI, Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid, Pengarah Jabatan Consumer dan Amalan Pasaran Bank Negara, Jeremy Lee, Pengarah Eksekutif Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia, Kalpana Sambasivamurthy, Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir dan lebih 30 wakil bank kormersial yang beroperasi di Malaysia.

Pejabat YB Dato’ Sri Azalina Othman Said
Menteri di Jabatan Perdana Menteri

16 Januari 2018