10,000 orang bankrap akan diberi pelepasan setahun

PUTRAJAYA 16 Jan. – Kerajaan bercadang memberi pelepasan kepada 10,000 orang yang bankrap setiap tahun sebagai salah satu mekanisme untuk menyelesaikan masalah kebankrapan di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, langkah tersebut akan dilaksanakan selama lima tahun.

“Mekanisme penyelamat lain yang dicadangkan adalah melalui kaedah Perkiraan Sukarela (VA) iaitu menaikkan had minimum ke­bankrapan daripada RM30,000 ke­pada RM50,000.

“Kerajaan berharap agar pihak bank meneliti dan membuat per­timbangan yang se­wa­jarnya sebelum bantahan terhadap pelepasan dikemukakan.

“Diharapkan juga pi­hak bank membenarkan mekanisme penyelamat digunakan bagi memberi peluang kepada penghutang menyusun semula hutangnya bagi mengelak sebarang prosiding kebankrapan diambil terhadap mereka,” katanya dalam entri Facebook beliau hari ini.

Cadangan berke­naan dikemukakan dalam satu rundingan meja bulat bagi mencari titik persefahaman antara Jabatan Insolvensi dan bank-bank di negara ini.

Rundingan meja bulat itu dipengerusikan oleh Azalina dengan dihadiri Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Datuk Jalil Marzuki; Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi, Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid serta Pengarah Jabatan Konsumer dan Amalan Pasaran Bank Negara, Jeremy Lee.

Yang hadir sama Pengarah Eksekutif Persatuan Bank-bank Dalam Malaysia, S. Kalpana; Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Azaddin Ngah Tasir dan lebih 30 wakil bank komersial yang beroperasi di Malaysia.

Azalina berkata, rundingan meja bulat itu bertujuan memberi gambaran yang jelas kepada pihak bank mengenai pindaan-pindaan yang telah dibuat kerajaan dalam Akta Insolvensi 1967.

Menurutnya, ia juga bagi membincangkan isu-isu teknikal yang dihadapi kedua-dua belah pihak bagi mencari titik persefahaman dalam menyelesaikan masalah kebankrapan.