Perbincangan selesaikan masalah bankrap

SHAH ALAM – Kerajaan telah mengadakan satu perbincangan meja bulat, hari ini, bagi mencari titik persefahaman antara Jabatan Insolvensi Malaysia (MDL) bersama Bank Negara Malaysia bertujuan bagi memberi gambaran mengenai pindaan di dalam Akta Insolvensi 1967.

Turut bersama dalam rundingan itu adalah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) serta Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said yang mempengerusikan rundingan itu berkata, rundingan meja bulat ini juga dibuat bagi membincangkan isu-isu teknikal yang dihadapi kedua-dua belah pihak untuk mencari titik persefahaman dalam menyelesaikan masalah kebankrapan di negara ini.

Menurutnya, antara isu yang dibincangkan adalah mekanisme penyelamat melalui kaedah Perkiraan Sukarela (VA), kenaikan had minimum kebankrapan daripada RM30,000 kepada RM50,000 dan kes-kes kebankrapan yang telah ditadbir MDL melebihi 15 tahun.

“Selain itu, saya turut menyatakan hasrat Kerajaan untuk melepaskan sebanyak 10,000 bankrap setahun bagi tempoh lima tahun.

“Kerajaan juga berharap agar pihak bank meneliti dan membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum bantahan terhadap pelepasan dikemukakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Azalina, selain itu, kerjasama yang baik daripada pihak bank diharapkan untuk membenarkan mekanisme penyelamat digunakan untuk memberi peluang kepada penghutang menyusun semula hutangnya bagi mengelak sebarang prosiding kebankrapan diambil terhadap mereka.

Turut sama dalam rundingan itu, Ketua Pengarah BHEUU, Datuk Jalil Marzuki, Timbalan Ketua Pengarah MDL, Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid, Pengarah Jabatan Consumer dan Amalan Pasaran Bank Negara, Jeremy Lee, Pengarah Eksekutif Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia, Kalpana Sambasivamurthy dan Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir.