Mahkamah khas siber akan diperluas

BANGI : Kerajaan akan memperluaskan penubuhan Mahkamah Khas Siber bagi menghukum dan melupuskan kesalahan jenayah siber, secara berperingkat di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata mahkamah berkenaan ketika ini dibuka di ibu kota pada tahun lalu dan akan diperluaskan ke negeri yang mencatatkan bilangan kes jenayah tertinggi terlebih dulu.

Katanya, dalam memperkemaskan lagi perlindungan dan ancaman berkaitan jenayah siber, Malaysia komited menganjurkan perbincangan meja bulat peringkat tertinggi Konvensyen Budapest Mengenai Jenayah Siber dalam usaha mempelajari hala tuju antarabangsa menangani jenayah berkenaan.

“Tanpa perlindungan standard, negara akan terus berdepan cabaran perundangan berkaitan transaksi rentas sempadan dan penentuan kesalahan dalam usaha mengenal pasti penjenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian seminar perbincangan meja bulat peringkat tertinggi Konvensyen Budapest Mengenai Jenayah Siber anjuran bersama Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor UKM, Tan Sri Prof Dr Noor Azlan Ghazali, Timbalan Ketua Misi Kedutaan Besar AS, Kuala Lumpur, Dean Thompson dan Ketua Bahagian Cybercrime, Majlis Eropah, Alexander Seger.

Konvensyen Budapest digubal Majlis Eropah dan dikuatkuasakan pada 1 Julai 2004.

Ia satu-satunya triti pelbagai hala antarabangsa menangani jenayah melalui internet dan rangkaian komputer, selain kesalahan tradisional melalui sistem komputer.

Sehingga 1 Jun lalu, 55 negara sudah membuat ratifikasi konvensyen berkenaan.

Azalina berkata, hasil rumusan perbincangan meja bulat itu, akan dibawa ke Kabinet bagi membolehkan kerajaan meminda akta sedia ada termasuk meminda Akta Jenayah Komputer 1997 dan Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah 2002 bagi memenuhi keperluan perundangan di bawah Konvensyen Budapest.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia juga sedang dalam proses meminda Akta Multimedia dan Komunikasi 1998 (CMA 1998) untuk memasukkan terma dan peruntukan baharu supaya selaras dengan konvensyen terutama dalam pemeliharaan data trafik.

Konvensyen Budapest antara lain merangkumi peruntukan mengenai halangan yang tidak sah penggunaan komputer, kecurian data, kecurian identiti, penyalahgunaan peranti dan peruntukan untuk meningkatkan penalti kesalahan berkaitan komputer yang dilindungi.

Azalina berkata, perbincangan meja bulat itu, turut memberi peluang negara untuk lebih memahami perkara teknikal secara terperinci dan mendalam bagi membolehkan Malaysia mempertimbangkan serta mengamalkan amalan terbaik yang dilaksanakan negara anggota.

Sementara itu, Noor Azlan berkata, pihaknya berbesar hati menawarkan khidmat kepakaran dalam bidang berkaitan menerusi penganjuran seminar yang diadakan selama dua hari bermula hari ini.